Berita Hari Ini
Like

Di mana Farhash Wafa Salvador?

September 7, 2019
413 Views
0 Comments
2 minutes read
Di mana Farhash Wafa Salvador?

KUALA LUMPUR: Polis Selangor masih berusaha mengesan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung kejadian serangan di sebuah Kompleks Sukan di Ampang, 31 Ogos lalu.

Farhash Wafa Salvador, 37, yang juga Pengerusi PKR Perak, adalah suspek utama kes serangan ke atas seorang jurulatih tinju di Kompleks Sukan Arena, di Taman Dagang Permai di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata Farhash masih gagal dikesan dan diarah segera tampil bagi membantu siasatan.

“Mangsa yang juga pengadu kes sudah menarik semula laporan yang dibuat kelmarin.

“Bagaimanapun, kes tetap dirujuk kepada Pegawai Pendakwa Negeri (PPN) untuk arahan lanjut.

“Kita sudah membuat lima tangkapan membabitkan lima lelaki berusia antara 22 hingga 38 tahun dipercayai terbabit dalam insiden serangan berkenaan.

“Mereka terbabit dalam bidang kejurulatihan tinju ‘Muay Thai’ dan direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Fadzil berkata, empat suspek dibebaskan hari ini dengan jaminan polis manakala seorang lagi suspek akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, selepas didapati mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes dadah.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa yang sedang menguruskan perlawanan Muay Thai anak didiknya dikatakan dihampiri seorang lelaki yang tiba-tiba menolak mukanya sehingga berlaku kekecohan sebelum penganjur meminta mereka beredar dari kawasan kompleks sukan.

Mangsa kemudian beredar ke tempat letak motosikal di luar kompleks berkenaan sebelum dikatakan diserang sekumpulan lebih 10 lelaki bersenjatakan pisau, topi keledar dan kerusi.

Susulan serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan.

Komen & Pendapat

Comments are closed.