Berita Hari Ini

Dr Mahathir Terima Anugerah Khas Kelestarian Canselor USM

GEORGETOWN: Tun Dr Mahathir Mohamad akan menerima Anugerah Khas Kelestarian Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pada Upacara Konvokesyen Komemoratif sempena sambutan ulang tahun ke-50 universiti itu di sini, esok.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor USM, berkenan menyempurnakan majlis berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak dapat menghadirinya kerana mempunyai urusan rasmi yang lain.

Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Asma Ismail, berkata upacara esok hanya simbolik dan penganugerahan sebenar kepada Dr Mahathir dijangka disampaikan dalam satu majlis di Istana Arau, Perlis pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

“Bagaimanapun, rakaman ucapan Perdana Menteri akan ditayangkan pada upacara esok. Penganugerahan itu diberikan atas sumbangan besar Dr Mahathir kepada negara dan masyarakat global.

“USM berbangga untuk menganugerahkan Anugerah Khas Kelestarian Canselor kepada Dr Mahathir dalam Upacara Konvokesyen Komemoratif yang diadakan 25 tahun sekali,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media mengenai Upacara Konvokesyen Komemoratif dan Konvokesyen Ke-57 USM di sini, hari ini.

Asma berkata, USM juga mengiktiraf beberapa tokoh terkemuka antaranya menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan kepada Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David atas sumbangannya terhadap kemajuan ilmu bidang sains sukan.

USM juga akan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada penerima Hadiah Nobel dalam bidang Fizik (2014), Prof Dr Shuji Nakamura dan Ijazah Kehormat Sarjana Pentadbiran Awam kepada bekas Pendaftar Wanita Pertama USM, Datuk Siti Mazenah Saad.

“Kesemua anugerah ini akan disampaikan Tuanku Syed Sirajuddin pada Upacara Konvokesyen Komemoratif, esok,” katanya.

Asma berkata Tuanku Syed Sirajuddin berkenan berangkat mempengerusikan sidang pertama sehingga sidang keempat Upacara Konvokesyen Ke-57 USM pada 24 dan 25 September ini.

Tahun ini, seramai 6,338 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk tiga penerima Ijazah Kehormat, empat Profesor Emiratus, 508 Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 1,564 Ijazah Sarjana, 4,266 Ijazah Sarjana Muda, dan 45 Diploma Kejururawatan.

Upacara konvokesyen USM bermula esok sehingga 29 September ini lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");