Berita Hari Ini
Like

Farhash Tidak Menghilang, Sudah Beri Keterangan Kepada Polis

September 10, 2019
137 Views
0 Comments
2 minutes read
Farhash Tidak Menghilang, Sudah Beri Keterangan Kepada Polis

IPOH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak kesal dengan kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain yang mahu membantu mengesan Pengerusinya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Timbalan Pengerusinya, MA Tinagaran berkata, sebenarnya sejak jam 9 pagi tadi Farhash berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya untuk memberikan keterangan.

Beliau berkata, pihak polis seharusnya mengetahui maklumat itu sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Saya amat terkejut dengan kenyataan itu seolah-olah ‘kehilangan’ Farhash begitu misteri sehingga terpaksa campur tangan Polis Perak untuk membantu mengesannya sedangkan dia sudah pun memberi keterangan.

“Saya fikir pihak polis perlu melihat sistem komunikasi mereka yang mungkin berlaku kepincangan kerana sepatutnya Ketua Polis Perak harus mendapat maklumat yang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Razarudin yang menyatakan kesediaan membantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman untuk mengesan Farhash.

Tinagaran berkata, sehingga kini Farhash masih berada di IPD Ampang Jaya memberikan keterangan lapor Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, pihak polis tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tanpa usul periksa kerana ia akan mewujudkan persepsi yang tidak baik.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta Farhash untuk tampil bagi membantu siasatan kes rusuhan di Arena All Stars, Ampang, 31 Ogos lalu walaupun mangsa telah menarik balik laporan yang dibuat.

Menurut Abdul Hamid, pihak polis masih mencari Farhash bagi merekodkan percakapannya sebelum kertas siasatan dihantar ke pihak timbalan pendakwa raya bagi mendapatkan keputusan sama ada kes tersebut tiada tindakan lanjut (NFA) atau sebaliknya.

Farhash sebelum ini diminta tampil segera ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan kes menyerang seorang jurulatih tinju di kompleks sukan tersebut.

Komen & Pendapat

Comments are closed.