Berita Hari Ini

Hari ke-9: Bicara Berehat Awal, Najib Jumpa Pakar

Bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin, akan terus disoal balas oleh pasukan pembelaan bekas perdana menteri pada pagi ini.

Antara fokus mereka ialah peranan yang cuba dimainkan Jho Low dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum badan itu menjadi 1MDB.

Perbicaraan dijalankan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah.

LANGSUNG

11.24 pagi: Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, menangguhkan perbicaraan sehingga ke jam 2 petang ini.

Penangguhan lebih awal dari biasa itu dibuat selepas peguam belas Najib meminta supaya bekas perdana menteri itu diberi kebenaran untuk berjumpa doktor pakar di Putrajaya.

Najib didakwa mengalami masalah mata dan hidung berair dan dipercayai ada kaitan dengan jerebu yang sedang melanda negara ini.


11.20 pagi: Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) selesai dipindah milik kepada kerajaan pusat pada 12 Ogos 2009, mahkamah diberitahu hari ini.

Hal itu disahkan melalui sijil saham bernilai RM1,000,002 yang dirujuk peguam bela, Muhammad Shafee Abdullah, kepada saksi, Amhari Efendi Nazaruddin.


10 pagi: Mahkamah diberitahu, seorang wakil Istana Negara mempertikaikan peranan Jho Low dalam penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) semasa bermesyuarat pada Mei 2009.

Saksi kelapan pendakwaan, Amhari Efendi Nazaruddin, berkata beliau masih ingat menghadiri mesyuarat tersebut di sebuah bilik di bangunan parlimen, pada 30 Jun 2009.

Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah wakil Yang di-Pertuan Agong, Wan Ismail Wan Nik, wakil Menteri Besar Diperbadankan (MBI) Terengganu dan Ketua Pegawai Eksekutif TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Untuk rekod Agong ketika itu ialah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan pihak pembelaan semalam menyatakan penubuhan TIA adalah idea daripada baginda.

Semasa mengesahkan butiran dalam minit mesyuarat itu Amhari berkata wakil Sultan Mizan menyatakan kesangsian terhadap peranan Jho Low – atau nama sebenarnya Low Taek Jho – dan kemungkinan nama sultan boleh disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun, Amhari yang menghadiri mesyuarat itu bagi mewakili Najib berkata, beliau tidak bersuara dalam perbincangan berkenaan.

Hal itu berlaku ketika Amhari tahu Jho Low sebelumnya mengaku bahawa dia (Jho Low) adalah penasihat kepada Tuanku Mizan.

Kata Amhari, beliau berdiam diri dalam mesyuarat tersebut kerana kedudukannya ketika itu hanya pegawai junior manakala yang lain-lain jauh lebih senior.

Menurut bekas pegawai khas Najib itu, ia adalah budaya yang difahami kakitanan awam, iaitu pegawai muda hanya perlu berdiam diri dan mengikut arahan.

Semasa disoal balas oleh Muhammad Shafee Abdullah, Amhari berkata beliau juga tidak membangkitkan hal itu kepada Najib kerana menyangka Ketua Setiausaha Perbendahaan (ketika itu), Wan Abdul Aziz – yang mempengerusikan mesyuarat tersebut – akan memberi taklimat mengenainya.

Amhari juga memberitahu beliau tidak bertanya kepada Wan Abdul Aziz sama ada hal itu sudah dimaklumkan kepada Najib atau tidak.

Apabila dicadangkan oleh Shafee bahawa beliau berdiam diri mengenai isu kecurigaan terhadap Jho Low kerana mereka mempunyai hubungan yang rapat, Amhari membantahnya.

Shafee: Saya cadangkan kepada kamu, kamu berdiam diri kerana kamu rapat dengan Jho Low dan kamu mendapat faedah daripadanya.

Amhari: Saya tak setuju.


9.57 pagi: Ketua pembelaan Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Amhari Efendi Nazaruddin bertelingkah seketika apabila isu mengenai tugas seorang kakitangan baru kerajaan.

Suasana hangat itu bermula apabila Shafee bertanya kepada bekas pegawai khas Najib itu mengapa beliau tidak berusaha membangkitkan hal mengenai Jho Low yang pernah mendakwa sebagai wakil Yang di-Pertuan Agong pada 2009.

Amhari menghadiri mesyuarat bersama Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 30 Jun 2009 sebagai wakil Pejabat Perdana Menteri.

Shafee: Adakah apa-apa yang menghalang seorang pegawai junior daripada bersuara?

Amhari: Tidak.

Shafee: Jadi, kamu boleh bercakap (mengenai sesuatu isu) semasa mesyuarat (TIA)?

Amhari: Ya, tetapi semua kakitangan kerajaan faham bahawa kadang-kadang kamu tidak bercakap, kamu dengar dan kemudian bercakap (kepada orang atasan). Itu adalah budaya normal (dalam kalangan kakitangan awam).

Shafee: Saya pernah menjadi kakitangan awam selama lapan tahun, hal itu tidak berlaku.


9.45 pagi: Perbicaraan hari ini akan berhenti rehat lebih awal dari biasa, iaitu 11.30 pagi, bagi membolehkan Najib berjumpa doktor pakar berhubung masalah matanya.

Dikaitkan dengan keadaan jerebu ketika ini, ketua pembelaan, Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan kepada hakim Collin Lawrence Sequerah agar anak guamnya dibenarkan berjumpa doktor.

Kata Shafee, Najib perlu menghadiri temu janji dengan seorang diktor di Putrajaya kira-kira jam 11 pagi ini.

“Simptomnya sama seperti semasa beliau mengalami konjunktivitis. Saya syak ia disebabkan keadaan jerebu.

“Beliau mengalami masa dan hidung berair, dan ideanya (untuk berjumpa doktor) ialah bagi mengelakkan ia menjadi lebih teruk,” katanya.


9.36 pagi: Najib memasuki kandang tertuduh. Tidak lama lagi peguam belanya dijangka mula menyambung sesi soal balas terhadap Amhari Efendi Nazaruddin.


9.29 pagi: Mahkamah akan mula bersidang tidak lama lagi apabila tertuduh masuk dan duduk di galeri awam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");