Membawang Hari Ini

Hasrat Yazit Mahu Tunai Umrah Tidak Kesampaian

Bekas pemain dram kumpulan rock legenda Search, Allahyarham Yazit Ahmad menyatakan hasrat mahu menunaikan umrah bersama anak bongsunya, Shafiqa Nurlis, 29.

Shafiqa berkata, perancangan bagi tujuan tersebut dilakukan pada bulan lepas, namun hasrat arwah tidak dapat dilaksana berikutan tahap kesihatannya tidak menentu.

Menurutnya, arwah ayahnya merupakan seorang yang tabah dan sentiasa berfikiran positif.

“Arwah ayah nak pergi umrah dengan saya. Tak apalah, selepas ini saya akan menunaikan impian arwah.

“Saya mewakili emak, memohon maaf kalau arwah pernah sakiti hati siapa-siapa. Segala hutang atau apa-apa yang ayah saya tak langsaikan lagi, berjumpalah dengan kami. Saya mohon maaf.

“Saya reda dengan ketentuan ALLAH. Sebenarnya saya belum bersedia kerana saya belum balas jasa arwah. Ayah ada berpesan supaya jaga emak dan abang,” katanya ketika ditemui di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi Taman Melati hari ini.

Shafiqa berkata, kira-kira jam 3.40 pagi Selasa, dia dikejutkan ibu selepas ayahnya mengalami sesak nafas di rumah mereka di taman berkenaan.

Menurutnya, jantung ayahnya terhenti ketika dalam perjalanan ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) sebelum diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh kakitangan hospital sebaik tiba di unit rawatan kecemasan.

“Pada petang semalam, doktor pakar sudah beritahu kepada keluarga untuk bersedia terhadap sebarang kemungkinan kerana dalam badan ayah sudah tiada oksigen dan aliran darah ke otak sudah berhenti.

“Tepat jam 11.53 pagi tadi, ayah menghembuskan nafas terakhir selepas mesin bantuan oksigen dicabut.

“Jumaat lepas, ayah ada cakap ‘adik, lepas ini papa tak nak masuk hospital dah’.

“Arwah ada cakap dia nak rehat. Pada hari itu (Jumaat), saya sempat bawa dia pergi makan nasi ayam sebab dia teringin nak makan,” katanya.

Dalam pada itu Shafiqa berkata, dia bersyukur apabila tiga rakan arwah yang juga ahli kumpulan Search hadir menziarahi bapanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL malam tadi.

“Sedikit mengejutkan malam semalam, walaupun kita tak maklumkan tapi Uncle Kid, Uncle Din dan Uncle Nasir datang. Alhamdulillah.

“Walau apa pun yang selama ini terjadi kepada mereka tapi itu antara dia dengan band (kumpulan). Sebenarnya, silaturahim mereka tak pernah putus,” katanya.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 57 tahun meninggalkan seorang isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurlis, 29, lapor Sinar Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");