Perak Hari Ini

Hiasan Rumah Sukan Menarik, Curi Perhatian Warganet

IPOH: Hiasan rumah sukan di sekolah-sekolah merupakan antara salah satu perkara menarik tatkala tiba acara sambutan hari sukan sekolah.

Pada kebiasaannya, hiasan rumah sukan hanya akan menggunakan khemah kanopi dan dihiaskan dengan bahan-bahan seperti kad manila serta barangan kitar semula yang lain.

Namun, beberapa gambar hiasan rumah sukan di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), di sini, yang tular di beberapa laman sosial Facebook dan Twitter baru-baru ini mendapat perhatian ramai warganet.

Selain hiasan berbentuk binaan piramid terdapat juga hiasan rumah sukan lain yang seolah-olah berbentuk seperi istana ais, rumah barat dan istana yang berunsurkan seni bina Cina.

 

Rata-rata warganet memuji usaha dan daya kreatif para pelajar yang berjaya menyiapkan hiasan rumah sukan yang menarik tersebut.

Tidak kurang ada yang meluahkan hasrat ingin menjadikan hiasan rumah-rumah sukan tersebut sebagai idea rujukan untuk dibuat acara hari sukan sekolah masing-masing.

Difahamkan, aktiviti menghias rumah sukan seperti itu merupakan ‘tradisi’ yang dilakukan oleh para pelajar tahun akhir bersempena dengan acara sukan sekolah.

“Untuk pengetahuan semua, rumah sukan dekat STAR Ipoh terbahagi kepada dua hemisphere; Northern and Southern. Northern: Green, Blue and Black, manakala Southern: Red, White and Yellow.

“Setiap tahun akan ada pertempuran antara dua hemisfera ini dalam sukan ragbi, bola sepak dan hoki. Biasanya pelajar tingkatan 5 yang terlibat,” tulis pengguna akaun Twitter @ovii52.

Tambahnya, nama-nama rumah sukan juga sentiasa berubah pada setiap tahun.

Selain itu, menurut pengguna Facebook ‘Ajwad Ghali’, gambar yang tular tersebut merupakan gambar yang diambil pada sekitar tahun 2006.

Menurutnya ketika bersekolah di situ, beliau juga terlibat dalam kerja-kerja menyiapkan hiasan rumah sukan bagi Rumah Hijau.

“Kisah 2006. Hasil kerja sebulan. Buat design guna polistirena. Hujung minggu pergi beli polistirena, waktu petang, selepas ‘kelas prep’, mula potong sikit-sikit. Modal keseluruhan RM400,” tulisnya.

Tambahnya selain polistirena, antara bahan lain yang turut digunakan bagi menyiapkan hiasan rumah sukan tersebut ialah gam, cat pelaka dan pisau pemotong.

Seorang pengguna Facebook, ‘Raja Zainuddin’ berkata kos untuk menyiapkan hiasan tersebut adalah hasil daripada dana rumah sukan yang dikutip dalam kalangan ahli rumah sukan.

Menurut seorang lagi pengguna Facebook ‘Rasis Jalil, kerja-kerja menyiapkannya adalah kesemuanya hasil daripada usaha para pelajar.

“100 peratus dari pelajar, oleh pelajar, untuk pelajar dan cikgu. Saya tahu sebab saya sendiri pernah buat seperti ini dahulu.

“Kami kumpul dana sendiri, beli bahan sendiri dan pasang sendiri. Para guru hanya akan tahu rupa hiasan khemah pada hari kejadian,” tulisnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");