Membawang Hari Ini

Ia petanda bagi saya mengundurkan diri – Faizal Tahir

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Faizal Tahir, memberikan bayangan ingin berundur daripada dunia muzik kerana berasakan kehilangan dua pemain gitar yang juga sahabat baiknya menjadi petanda untuknya berbuat demikian.

Menguatkan spekulasi ramai apabila foto di akaun Instagramnya juga dipadamkan, sebaliknya hanya meninggalkan tiga perkongsian yang ditujukan khas untuk kedua-dua pemuzik berkenaan.

Faizal berkata, Wan Kelly dan Aji adalah dua individu yang menjadi tunjang terhadap perkembangan muzik serta persembahan secara langsungnya, selama ini.

“Saya tidak percaya pada kebetulan. Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya. Dan, apa yang terjadi juga ada sebabnya. (Ia adalah) Peringatan dan petanda. Petanda untuk saya mengundurkan diri.

“Saya tahu, kamu berdua berada di tempat yang terbaik kerana kamu adalah insan yang hebat, suci dan berhati mulia. Allah menyayangi kamu.

“Masa saya juga akan tiba, tetapi (saya) masih di sini dan percaya, (saya) mempunyai tujuan, peranan serta tanggungjawab untuk dilaksanakan sebelum bertemu dengan kamu. Allah maha mengetahui,” katanya menerusi Instagram.

Menerusi perkongsian lain, penyanyi merangkap komposer itu turut menegaskan tidak mungkin mengadakan persembahan langsung buat masa ini berikutan pemuzik yang tiada galang ganti itu tidak lagi di sisi.

“Dua kehilangan… Dalam masa empat bulan saya kehilangan dua abang, dua sahabat di dalam band saya. Kekuatan utama muzik saya. Nadi utama persembahan ‘live’ saya.

“Sekian lama mereka berada di sisi saya, sama ada ketika susah dan senang, begitu juga saat saya memerlukan. Mereka memainkan peranan besar dalam pembentukan muzik dan persembahan secara langsung saya.

“Kehilangan mereka tiada ganti kerana saya sendiri tiada niat untuk mencari pengganti. Persembahan langsung saya takkan sama tanpa mereka. Saya percaya, kini saya boleh katakan, takkan ada lagi konsert berskala besar yang saya rancang,” katanya.

SATU daripada tiga perkongsian Faizal di Instagramnya yang ditujukan khas untuk teman baik, Aji dan Wan Kelly.

Pemain bes, Wan Kelly atau nama sebenarnya Wan Kelly Abdul Rahman, menghembuskan nafas terakhir ketika mengadakan latihan dan sesi ujian bunyi di sebuah taman tema di Ipoh, Perak, pada 4 Mei lalu.

Pemain gitar, Aji atau Fauzi Samin, 50, pula meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Bukit Kemuning, Shah Alam, kira-kira jam 11.45 pagi, kelmarin, akibat serangan jantung.

Sementara itu, pada 24 Julai lalu, Faizal, 41, pernah mengumumkan Rojak menjadi album terakhirnya.

Begitupun dalam temu bual bersama media pada pelancaran album berkenaan, dia menyatakan akan terus berkarya menghasilkan lagu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");