Berita Hari Ini

Insiden Anak Ahli Politik, Polis Disiasat

POLIS buka dua kertas siasatan berhubung insiden salah faham membabitkan anak seorang ahli politik dari Melaka serta anggota polis dalam kejadian di Klebang, Melaka baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, setakat ini siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan.

“Kita buka dua kertas siasatan, satu bersabit dengan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi bersabit Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dakwaan adanya berlaku kekasaran.

“Setakat ini siasatan masih dijalankan termasuk memanggil beberapa lagi individu untuk diambil keterangan,” katanya, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada di majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Polis (PERKEP) Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) Bukit Beruang.

Hadir sama Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman Datuk Rosly Abas dan Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shahrul Lailli Masduki.

Kejadian pada awal pagi 31 Ogos lalu, anak seorang ahli politik mendakwa diserang tanpa sebab oleh anggota polis yang sedang membuat sekatan jalan raya 31 Ogos lalu tular di media sosial.

Insiden itu turut membabitkan beberapa remaja lain yang mendakwa mereka juga dipukul sehingga menyebabkan kecederaan, manakala polis turut mendakwa anggotanya mengalami kecederaan ringan dalam insiden berkenaan.

Mengulas jumlah individu yang dipanggil untuk memberikan keterangan, Raja Shahrom berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan.

Ditanya adakah polis juga akan memanggil dua figura politik di sebalik insiden berkenaan, beliau berkata, semestinya individu berkenaan dipanggil.

“Kerana dia (ahli politik) yang mengadu bersabit dengan kekasaran pihak polis, semestinya dia akan dipanggil kerana dia juga tularkan insiden berkenaan di media sosial,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");