Panasnya Hari Ini

Jadikan Kesilapan Parti Lawan Sebagai Pedoman – Dr Mahathir

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) juga akan menerima nasib sama dengan parti dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) jika pemimpin dan ahlinya lupa perjuangan asal penubuhan parti itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi BERSATU itu berkata, ia kerana kemenangan parti berkenaan dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 bukan kerana kekuatan mereka mahupun sokongan rakyat semata-mata.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, ia hasil penolakan rakyat terhadap parti lawan yang sudah menerajui negara lebih 60 tahun.

“Parti yang kalah, parti yang memerdekakan negara kita hingga selama 60 tahun. Biarpun itu jasa yang harus diakui, namun hakikatnya rakyat tidak lagi suka dengan parti itu.

“Kenapa parti yang disayangi rakyat dulu kini ditolak rakyat? Nasib parti itu boleh dijadikan pengajaran kepada parti kita.

“Kita boleh belajar bukan saja daripada pengalaman tapi juga dengan melihat apa yang berlaku kepada pihak lain… kejayaan mereka, kegagalan mereka dan sifat mereka. Ini semua memberi pengajaran kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Ulang Tahun Ketiga BERSATU di Dataran Kemerdekaan, di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; serta Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dr Mahathir berkata, jika dulu, pemimpin parti pemerintah sebelum ini bergantung pada semangat kebangsaan, semangat kemelayuan dan semangat kemalaysiaan, namun kini tiada lagi semangat berkenaan.

Beliau berkata, masing-masing hanya memikirkan diri sendiri dan menyertai parti itu bukan demi perjuangan bangsa, agama dan tanah air, sebaliknya untuk kepentingan serta kekayaan diri.

“Mereka hendak menjadi pemimpin pada peringkat cawangan dan pusat kerana fikir apabila menjadi pemimpin, mereka akan mendapat ganjaran untuk diri sendiri.

“Ganjaran yang diminta bukan sedikit, makin lama makin banyak. Kalau dulu RM100, RM200, sekarang RM1,000, RM2,000… akhirnya meningkat kepada RM1 bilion.

“Apabila rakyat melihat bukan lagi rakyat diperjuangkan, itu sebab rakyat rasa benci dan marah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, parti itu juga begitu yakin bahawa walaupun rakyat tidak sukakan parti berkenaan, mereka tentu suka kepada wang ringgit.

Justeru, beliau berkata, pemimpin parti terbabit percaya walaupun ia mengkhianati perjuangan parti, jika wang yang banyak diberikan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan, rakyat akan tetap memilih mereka pada pilihan raya.

Sementara itu, Muhyiddin dalam ucapannya pula mengingatkan ahli yang menyertai BERSATU pada awal penubuhan, supaya mendaftar menjadi ahli di peringkat cawangan dan bahagian masing-masing menjelang akhir tahun ini bagi memudahkan proses pemilihan parti pada awal tahun depan.

Beliau berkata, dengan cara itu, parti akan dapat menentukan proses pemilihan tidak berdepan isu dan masalah berbangkit.

Pemilihan BERSATU dijangka berlangsung mulai awal tahun hingga Jun tahun depan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");