Berita Hari Ini

‘Jho Low Perancang Najib di 1MDB’

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan perancang (orchestrator) bagi pihak Najib Razak untuk melaksanakan semua rancangan mereka di 1MDB.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata ini diperkukuhkan dengan fakta bahawa setiap kali sekiranya beliau memeriksa semula arahan-arahan yang diberikan oleh Jho Low dengan Najib, Jho Low akan mengesahkan ia adalah dipersetujui oleh Najib dan mengarahkannya untuk mengambil tindakan susulan mengikut arahan-arahan yang telah diberikan.

“Yang nyatanya adalah semua butiran percakapan dan pelan tindakan yang disampaikan kepada saya adalah 100 peratus konsisten dengan tindakan dan keputusan Najib selepas itu.

Oleh itu saya amat yakin bahawa Jho Low memainkan peranan sebagai perancang bagi pihak Najib untuk melaksanakan semua rancangan mereka di 1MDB.

Ini termasuk terbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN), usahasama PSI-1MDB, pembelian Tanjong Energy, Genting dan Jimah, kedua-dua terbitan bon dan sebagainya. Oleh itu saya sentiasa percaya bahawa segala butiran percakapan dan pelan tindakan yang dibawa oleh Jho Low sudah ada restu daripada Datuk Seri Najib,” katanya.

Saksi pendakwaan kesembilan yang juga saksi penting berkata demikian dalam penyataan saksinya setebal 270 muka surat ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama, masuk hari ke-12 hari ini.

Shahrol Azral, 49, berkata sebarang arahan atau tindakan daripada Jho Low adalah dibuat dengan persetujuan Najib.

“Isi kandungan butiran percakapan atau pelan tindakan ini melibatkan nama-nama dan keputusan-keputusan yang saya tidak boleh akses dan tidak mampu saya gariskan kerana hanya Jho Low sahaja yang boleh menggariskan atau menyediakan nota-nota ini dengan restu Najib sepertimana gerak kerja sulit ‘work in silo’,” katanya.

Beliau berkata bekerja dalam lapisan (work in silo) inilah yang diamalkan dalam urusan harian mereka dari awal lagi.

Shahrol Azral berkata beliau tahu yang Jho Low juga ada memberikan dokumen butiran percakapan atau pelan tindakan yang sama kepada pihak ahli lembaga pengarah 1MDB dan pegawai di Pejabat Perdana Menteri seperti bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin dan Allahyarham Azlin Alias (ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib).

“Saya mengesyaki Jho Low juga ada memberikan butiran percakapan dan pelan tindakan ini kepada pegawai 1MDB yang lain seperti Casey Tang, Hazem, Azmi, Terence Geh dan Jasmine Loo setelah saya mendapat tahu apa yang telah mereka lakukan tanpa pengetahuan saya.

Mereka inilah yang berada dalam pasukan-pasukan gerak kerja sulit atau work in silo ini,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");