Berita Hari Ini

‘Jho Low sudah biasa di rumah Najib, minta Milo ais’

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa hubungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dilihat amat rapat dengan Najib Razak dan beliau meminta dihidangkan milo ais semasa tiba di kediaman rasmi Najib.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata beliau berpendapat sedemikian setelah Jho Low membawanya ke Sri Satria, Putrajaya, yang merupakan kediaman rasmi Najib.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada hari ke-11 perbicaraan Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

“Ketika itu Najib sudah menjawat jawatan sebagai perdana menteri tetapi kediaman yang dibawa oleh Jho Low adalah kediaman rasmi timbalan perdana menteri kerana beliau belum berpindah.

“Berdasarkan pemerhatian saya pada ketika itu, Jho Low membawa saya masuk ke dalam rumahNajib dan kelihatannya dia seperti sudah biasa dengan selok-belok kediaman Najib,” katanya.

Beliau berkata, sejurus tiba di pagar kediaman rasmi itu, Jho Low terus mendapat akses untuk masuk ke dalam kawasan kediaman berkenaan.

Malah ketika berada di dalam kediaman rasmi Najib, Jho Low terus meminta pekerja di kediaman itu menyediakan minuman milo ais untuknya sebelum kami bertemu Najib.

Ketika kejadian itu, Jho Low membawanya ke kediaman Najib bagi satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Petroleum, Maurizio La Noche.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");