Perak Hari Ini

JPJ Perak Lancar JPJeBid Bagi Siri Nombor ALL Khamis Ini

IPOH: Selepas Pahang dan Kelantan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak hari ini melancarkan Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) bagi siri ALL yang akan bermula pada 19 September ini.

Pengarah JPJ Perak Severinus Tukah berkata tempoh bidaan tersebut akan berlangsung selama lima hari dan keputusan akan diumumkan pada 24 September ini.

Katanya sistem tersebut menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.

Selain itu, menurutnya para pembida juga boleh mengetahui kedudukan atau rangking secara ‘real-time’ dan tiada unsur-unsur campur tangan manusia dalam sistem itu.

Ujar beliau, sistem bidaan yang mempunyai sistem keselamatan atas talian itu boleh diakses menerusi aplikasi JPJeBid atau melalui portal https://jpjebid.jpj.gov.my/ebid/.

Tambah Severinus, bagi siri nombor pendaftaran ALL, JPJ Perak menyasarkan hasil kutipan bidaan berjumlah RM1 juta dengan bidaan tertinggi bagi nombor pendaftaran ALL 1 yang dijangka dapat mengutip bidaan berjumlah RM150,000.

“Bagi kategori nombor bernilai utama, harga minimum untuk bidaan adalah RM20,000, manakala nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300) dengan kenaikan minimum lima peratus bagi semua kategori itu,” katanya.

Tambahnya lagi, orang ramai boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran wajib Fi Perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida pada satu-satu masa.

“Tiada sekatan untuk melakukan bidaan, namun setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan, manakala syarikat atau firma perniagaan hanya boleh memenangi tidak lebih daripada lima nombor kenderaan,” katanya dalam sidang media Pelancaran JPJeBid bagi siri nombor ALL, di JPJ Perak, di sini, hari ini.

Pada masa sama jelasnya setakat ini, nombor pendaftaran kenderaan yang paling popular di negeri ini ialah AKU yang mencatatkan bidaan berjumlah RM3.16 juta, diikuti ALA (RM1.16 juta) dan ALE (RM1.1 juta)

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Perlesenan Kenderaan Ibu Pejabat JPJ, Mohd. Hafiz Shamsani Othman berkata sebanyak EM21.2 juta nilai bidaan telah berjaya dikutip menerusi pelaksanaan JPJeBid.

“Kutipan tertinggi ialah siri FC yang berjaya mengutip hasil bidaan sebanyak RM3.1 juta bagi 2,481 bilangan bidaan. Diikuti dengan siri VDV dengan jumlah hasil kutipan sebanyak RM1.6 juta,” katanya.

Tambahnya, selepas Perak sistem JPJeBid akan diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Sarawak, Terengganu, Melaka, Selangor dan Perlis.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");