Berita Hari Ini

JPN Nafi Video Tular Dakwa DAP Rancang Daftar MyKad Pendatang China

KUALA LUMPUR – Video tular yang didakwa memaparkan usaha dan perancangan pemimpin DAP Kepong mendaftarkan MyKad kepada pendatang haram dari China adalah tidak benar dan disalah ertikan.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata, video yang kembali tular itu merupakan video lama yang disalah tafsir sehingga menyebabkan orang ramai berpusu-pusu hadir di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan status warganegara Malaysia.

Sedangkan program anjuran pejabat Parlimen DAP Kepong pada penghujung 2018 tersebut hanya melibatkan sesi penerangan dan taklimat berhubung tatacara permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan oleh JPN.

“Tiada urusan permohonan kewarganegaraan dilaksanakan pada hari tersebut dan pihak JPN telah menasihatkan mereka yang hadir untuk pergi ke pejabat JPN berhampiran bagi urusan permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini, lapor Utusan Online.

Video tersebut tular dalam beberapa platform media sosial ketika ini yang mengaitkan kandungan video berkenaan dengan unsur perkauman.

JPN meminta orang ramai segera menghentikan penyebaran video tersebut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan menggugat ketenteraman awam.

“JPN ingin mengingatkan tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat yang tidak benar oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” tambah jabatan itu.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menerusi akaun Facebook beliau turut berkongsi laporan kenyataan JPN hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");