Panasnya Hari Ini

‘Kalau Zuraida Mahu Pemimpin PH Jadi Pengampu, Cakap Saja’

Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, P Ramasamy mempersoal Zuraida Kamaruddin sama ada naib presiden PKR itu mahukan pengampu berada dalam Pakatan Harapan (PH).

Ini selepas Zuraida menegur pemimpin DAP susulan dua kenyataan yang dipetik media yang kelihatan seperti mempersoalkan kepimpinan perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Ramasamy berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak perlu bertindak sedemikian.

“Bagaimanapun jika Zuraida mahu pemimpin PH menjadi pengampu, elok cakap sahaja.

“Beliau tidak perlu berdolak-dalik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Walaupun tidak menamakan pemimpin DAP yang mengeluarkan dua kenyataan berkenaan, Zuraida dipercayai merujuk kepada Ramasamy dan Anggota Parlimen Klang Charles Santiago.

Kedua-dua pemimpin DAP itu memberi maklum balas mereka terhadap kenyataan perdana menteri pada 29 Ogos lalu yang mengatakan tiada kekosongan bagi Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk menyertai kabinet.

Charles pada 30 Ogos lalu menyifatkan kenyataan Mahathir itu sebagai mengarut dan berkata rakyat kini sanggup memberi peluang kepada Anwar kerana bimbang Mahathir kembali kepada cara lamanya.

Sementara itu, Ramasamy pula menggesa perdana menteri menghormati pelan peralihan kuasa PH yang meletakkan Anwar sebagai pengganti Mahathir.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata beliau juga memberi kredit kepada kepimpinan perdana menteri yang memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah PH mengalahkan BN tahun lepas.

“Sama ada Zuraida membaca artikel kami sekali lalu atau salah memahami kandungannya atau kedua-duanya sekali.

“Saya tidak fikir saya mempersoalkan Mahathir, begitu juga Santiago,” tulisnya melalui hantaran di Facebook.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");