Berita Hari Ini

Kaukus reformasi Dan Tadbir Urus Anjur Seminar Ekonomi, Kemiskinan Dan Kesenjangan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen akan mengadakan Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan bagi ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kerajaan dalam memahami permasalahan terkait kemiskinan di Malaysia, esok.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kaukus itu juga menjemput pakar-pakar ekonomi seperti Rajah Rasiah dari Asia Europe Institute Universiti Malaya (UM) dan Jomo Kwame Sundaram dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM, untuk membentangkan dapatan mereka tentang realiti kemiskinan di Malaysia.

“Resolusi dan panduan mengenai bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus membetulkan fokus, dalam usaha mencipta sebuah ekonomi yang belas dan prihatin kepada golongan miskin tanpa kira kaum dan kelompok, akan diberikan di hujung seminar berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, sebagaimana dilaporkan Bernama.

“Sejak sekian lama PH berkempen dengan hebat atas dasar bahawa kerajaan Barisan Nasional telah gagal memperjuangkan isu kemiskinan. Dengan menggunakan data yang tidak tepat, kerajaan terdahulu telah menyatakan bahawa masalah kemiskinan telah hampir dibasmi sepenuhnya.

“Kita tahu kenyataan itu tidak tepat dan saya sendiri menyaksikan kemiskinan di setiap bandar dan kampung yang saya lawati di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata laporan dikeluarkan oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Prof Philip Alston pada 23 Ogos lalu, telah membuka mata pemimpin PH bahawa mereka tidak boleh berselindung di sebalik statistik dan terus tidak mempedulikan realiti sebenar yang mengesankan rakyat terbanyak.

Laporan berkenaan mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");