Perak Hari Ini

Kerajaan Akan Teliti Cadangan Naikkan Umur Persaraan 65 Tahun

IPOH: Kerajaan akan meneliti cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa agar had umur persaraan mandatori dapat ditingkatkan daripada 60 kepada 65 tahun.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata berhubung cadangan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan sebanyak RM500 pula ia turut akan diperhalusi.

Katanya kementerian beliau telah pun mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan Kementerian Kewangan pada minggu lalu berhubung cadangan itu.

“Kini umur persaraan mandatori ialah 60 tahun dan kini di Singapura telah dinaikkan kepada had umur 65 tahun.

“Ia satu perkara yang kita akan perhalusi dan akan membuat satu keputusan yang baik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Kempen Menanam Pokok di Taman Dr Seenivisagam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Adun Kepayang, Dr. Ko Chung Sen serta Datuk Bandar Ipoh Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Semalam dilaporkan MTUC menggesa kerajaan untuk memperkenalkan COLA bulanan sebanyak RM500 atau lebih kepada pekerja menerusi Bajet 2020, selain meningkatkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun.

Ketika ditanya sama ada cadangan tersebut relevan atau akan terus memberi kesan kepada pengurangan peluang pekerjaan kepada golongan muda, M. Kulasegaran berkata ia sebaliknya.

“Yang mengatakan kita tidak ada peluang pekerjaan itu tidak benar kerana kadar pengangguran negara kekal pada 3.3 peratus.

“Kita hanya kekurangan pekerja. Disebabkan itulah kita terpaksa mengambil tenaga kerja dari negara asing,” katanya.

Ujarnya kebanyakan kadar pengangguran di negara ini terdiri daripada golongan muda termasuk golongan graduan yang baru menamatkan pelajaran.

Jelas M. Kulasegaran golongan tersebut yang masih tidak mempunyai pekerjaan boleh melanjutkan pelajaran di pusat-pusat Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seluruh negara bagi meningkatkan aspek kemahiran diri.

Katanya dengan mempunyai kelebihan dalam bidang kemahiran, ia mampu menarik minat ramai majikan untuk mengambil mereka sebagai pekerja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");