Perak Hari Ini

Kerajaan Diminta Pertimbang Cadangan Tambah Anggota UTK, VAT 69

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berharap agar kerajaan dapat meluluskan segera cadangan penambahan keanggotaan Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando VAT 69.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata perkara tersebut penting kerana negara masih menerima ancaman keselamatan khususnya di kawasan perairan pantai timur Sabah.

Katanya pada masa kini, bagi menjamin tahap keselamatan di kawasan tersebut sentiasa dalam keadaan baik, anggota-anggota dari UTK dan VAT 69 telah ditempatkan di kawasan tersebut secara bergilir-gilir.

“Permohonan penambahan anggota yang dibuat ialah melibatkan pasukan UTK daripada lebih 400 kepada 888 anggota dan 662 anggota kepada 991 anggota VAT 69.

“Sekiranya kerajaan dapat meluluskan permohonan itu, kita dapat membuat pertukaran tugasan anggota pasukan khas ini dengan lebih berkesan dan mantap khususnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom),” katanya.

Jelasnya kertas cadangan tersebut telah disiapkan dan pihaknya sedang dalam proses untuk menghantar ke pihak kerajaan bagi mempertimbangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, ujarnya walaupun kerajaan kini sedang mengecilkan bilangan kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam namun beliau berharap agar cadangan penambahan keanggotaan UTK dan VAT69 itu mendapat pertimbangan khas.

“Ini kerana isu keselamatan kita tidak boleh berkompromi. Pasukan VAT69 ini bukan sahaja dilatih untuk tugas-tugas seperti yang berlaku di perairan pantai timur Sabah bahkan, mereka juga turut dilatih dalam menangani sebarang ancaman keganasan di bandar.

“Jadi dengan perkembangan masa kini, dengan beberapa ancaman yang kita lihat sekarang, kita perlu sentiasa bersiap sedia.

“Jangan nanti berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, kita tidak ada persiapan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media Program Ziarah Kasih Veteran VAT69 Komando di Dewan Nazrin Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Veteran VAT 69 Komando, Datuk Abd Rashid Harun.

Dalam program tersebut, sekitar 20 orang balu anggota dan pegawai VAT 69 telah menerima sumbangan zakat asnaf daripada Khazanah Nasional Berhad.

Pada majlis sama, turut diadakan acara pelepasan Kembara Veteran VAT 69 yang disempurnakan Acryl Sani.

Program yang disertai hampir 40 orang peserta dan melibatkan lebih 10 kenderaan pacuan empat roda itu akan menjelajah ke beberapa kawasan seperti Pos Kemar, Pos Legap, Pos Brooke dan Pos Jernang.

Penganjuran acara tersebut dianjurkan oleh Persatuan Veteran VAT 69 Komando bersempena dengan Sambutan Hari Ulang Tahun VAT 69 yang ke-50, pada bulan hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");