Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Akan Salurkan Dana, Anjur Seminar Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan – Sivanesan

IPOH: Kerajaan Perak akan memperuntukkan sejumlah dana bagi penganjuran seminar keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata ia sebagai langkah kerajaan negeri dalam menunjukkan komitmen terhadap keselamatan pekerja dalam pelbagai bidang termasuk sektor swasta.

Jelas beliau, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), wakil-wakil pekerja dan pihak berkepentingan dalam penganjuran program tersebut.

“Kerajaan negeri juga mempunyai tanggungjawab dalam hal keselamatan dan kesihatan pekerja ini.

“Oleh sebab itu, pejabat saya akan bekerjasama dengan JKPP untuk menganjurkan satu lagi program seumpama ini pada awal tahun hadapan.

“Dan kemudian kita akan mengadakan hasil dapatan bahawa adakah selepas penganjuran program itu, ia akan menurunkan lagi kadar kemalangan dan kemalangan maut di tempat kerja di negeri ini,” katanya.

Ujar beliau lagi, perkara seumpama itu berkemungkinan bakal menjadikan Perak sebagai kerajaan negeri pertama yang menganjurkan dan memperuntukkan dana untuk seminar seumpama itu pada masa akan datang.

Walau bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara jelas berapa jumlah peruntukan dana yang akan disalurkan.

“Seminar keselamatan ini penting kerana di Perak, antara 2.8 juta penduduknya, lebih kurang 1.4 juta adalah terdiri daripada golongan pekerja. Dan 90 peratus daripadanya pula ialah pekerja swasta.

“Jadi pada masa akan datang kita akan memanggil semua pihak berkepentingan, wakil pekerja atau kesatuan pekerja, majikan dan wakil kerajaan untuk berbincang tentang semua perkara dalam program itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Industri Pembinaan (Pengurusan) (OSHCIM) Negeri Perak 2019 di Hotel M Roof, di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) JKKP Negeri, Hanisah Ahmad dalam ucapannya berkata seminar tersebut dihadiri seramai 70 orang pegawai yang terdiri daripada pihak berkuasa tempatan, jabatan kerajaan dan agensi seluruh negeri.

Difahamkan antara agensi yang terlibat dalam penganjuran seminar kali kedua itu ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Para peserta yang hadir akan didedahkan dengan pelbagai topik yang akan mengupas dan membantu peserta memahami Garis Panduan OSHCIM yang telah dikeluarkan dan akan disampaikan oleh penceramah yang terlibat secara langsung di dalam penghasilan garis panduan ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");