Perak Hari Ini

Kerajaan Perak Dalam Usaha Wartakan Lagi 6,000 Hektar Tanah Untuk Kawasan Rayau, Penempatan Orang Asli

TAPAH: Kerajaan Perak sedang dalam proses bagi mewartakan lagi tanah seluas hampir 6,000 hektar di negeri bagi dirizabkan sebagai kawasan rayau dan penempatan masyarakat Orang Asli.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah meluluskan rizab hampir 14,000 hektar tanah untuk kawasan rayau dan ia melibatkan 70 kawasan penempatan Orang Asli di bawah Akta Orang Asli 1954.

“Kini kita sedang dalam proses mewartakan lagi tambahan tanah sebanyak hampi 6,000 hektar lagi untuk masyarakat Orang Asli di Perak.

“Sekiranya ia berjaya diwartakan, Perak bakal menjadi negeri yang mempunyai kawasan rayau dan penempatan masyarakat Orang Asli yang paling luas di negara ni” katanya.

Ujarnya, proses penambahan keluasan kawasan tersebut telah pun dimulakan semenjak pentadbiran baharu mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri ini pada Mei 2018.

Katanya daripada angka 6,000 hektar itu, ia akan menambah sebanyak 27 lagi kawasan penempatan untuk masyarakat Orang Asli di Perak.

Beliau berkata demikan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Orang Asal 2019, di Dewan Merdeka, di sini, malam tadi.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang ditemui berkata beliau menyambut baik usaha Kerajaan Perak dalam memberi pengiktirafan kepada masyrakat Orang Asli.

“Saya berharap agar negeri lain turut dapat melakukan yang sama seperi di Perak dalam mengiktiraf hak masyarakat Orang Asli.

“Selain itu diharap kerjasama yang masyarakat tersebut berikan kepada kerajaan baharu ini akan terus kekal,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya berkata beberapa pembangunan infrastruktur, di Daerah Batang Padang telah dibangunkan kerajaaan antaranya pembinaan Balai Rawatan Pos Gedong, pembinaan Longkang serta pembinaan penahan tebing Kampung Orang Asli Sungai Jentong.

Tambahnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga telah meluluskan pembinaan 30 unit rumah dan membaik pulih 12 unit rumah masyarakat Orang Asli di seluruh Perak.

Katanya lagi, program kampung angkat Orang Asli yang dijalankan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri di daerah tersebut turut berjaya membuahkan hasil seperti mana kewujudan ‘Geng Cek Nik’ di Kampung Sungai Cincin yang dijadikan kampung angkat oleh Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");