Panasnya Hari Ini

Kerjasama Pelaburan 1MDB Dan PetroSaudi AS$2.5 Bilion

KUALA LUMPUR: Kerjasama pelaburan antara syarikat PetroSaudi International Ltd (PSI) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan nilai AS$2.5 bilion.

Melalui kerjasama itu, 1MDB menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion sebagai modal permulaan yang dibayar secara tunai.

Syarikat PSI pula melabur menerusi aset bernilai AS$2 bilion dengan PSI dan 1MDB bersetuju memberikan diskaun pada nilai AS$1.5 billion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, dalam keterangannya, berkata diskaun itu bagi membolehkan 1MDB mendapat pegangan saham 40 peratus dalam projek usahasama terbabit.

Saksi pendakwaan kesembilan itu juga mengesahkan surat daripada PSI yang dirujuk kepadanya iaitu ‘An initial AS$2.5 bilion joint venture between PSI and 1MDB’ bertarikh 28 Ogos 2008 dialamatkan kepada Najib.

Beliau berkata, surat itu ditandatangani CEO PSI, Tarek Obaid kepada Najib yang ditunjukkan kepada beliau (saksi) oleh ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low.

Katanya, pada perenggan pertama surat jelas menyatakan bahawa Tarek Obaid turut berada bersama ketika pertemuan antara Najib dengan Prince Turki pada Ogos 2009.

Katanya, dalam perenggan itu menunjukkan bahawa sebelum pertemuan itu, Najib pernah mengadakan perjumpaan dengan Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pada Julai 2009.

Tambahnya, perjumpaan itu bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara syarikat dari Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi.

Sementara itu, Shahrol Azral ketika menjelaskan lebih lanjut berhubung kerjasama pelaburan antara PSI dengan 1MDB itu, berkata PSI berjanji untuk menyediakan laporan penilaian terhadap aset yang mereka laburkan oleh firma penilai antarabangsa yang mempunyai reputasi baik.

Beliau berkata, PSI memerlukan perjanjian usahasama ditandatangani pada atau sebelum 28 September 2009 sekali gus menjadi antara punca 1MDB berdepan dengan tekanan masa bagi menepati tarikh yang ditetapkan.

“Saya menunjukkan surat itu kepada Jho Low dan beliau menekankan bahawa dua pemimpin itu iaitu Najib dan Raja Abdullah bersemangat untuk mewujudkan satu usahasama pelaburan di antara kedua-dua kerajaan.

“Kami selaku pihak pengurusan 1MDB akan bertanggungjawab untuk merealisasikan hasrat kedua-dua pemimpin itu.

“Jho Low ketika itu juga ada memberitahu bahawa Najib menyerahkan surat itu kepadanya sendiri malah Jho Low menerangkan beliau mempunyai ‘networking’ (jaringan) dengan PSI iaitu Prince Turki,” katanya.

Selain itu, katanya Jho Low bertegas bahawa ia adalah inisiatif strategik kerajaan kepada kerajaan maka ia harus disegerakan.

Selepas mendengar penjelasan daripada Jho Low, saksi berkata beliau yakin bahawa usahasama itu perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah hasrat Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB, iaitu Najib lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");