Perak Hari Ini

Kerjasama Umno-Pas Bukan Penyatuan Ummah, Ia Hanya Penyatuan Dua Parti Politik – Asmuni

IPOH: Kerjasama rasmi antara Umno dan Pas yang dimeterai semalam bukanlah ‘penyatuan ummah’ yang sebenar sebaliknya ia hanya sekadar ‘penyatuan dua parti politik’.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi berkata penyatuan ummah tidak boleh berlangsung sekiranya ia hanya melibatkan dua parti politik.

“Yang penting ialah penyatuan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Tetapi perkara ini yang tertinggal dalam program Himpunan Penyatuan Ummah Umno dan Pas.

“Sebab itu ia bukan penyatuan ummah. Ia penyatuan parti politik, untuk tujuan dan matlamat politik. Bukan untuk tujuan nasional,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Perak menambah bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak berasa bimbang dengan perkembangan tersebut.

Katanya walaupun secara atas kertas menyebut bahawa kerjasama antara dua parti terbesar Melayu itu mampu menggugat negeri yang diperintah PH pada Pilihanraya Umum yang akan datang namun ia tidak semudah seperti yang disangkakan.

“Walaupun kata penyatuan mereka itu bakal membolehkan mereka merampas kembali 5 negeri termasuk Perak, pada saya atas kertas ia begitu tetapi kita ada juga membuat simulasi yang kita dapati ia tidak semudah begitu.

“Saya lihat yang beriya-iya hendak bersatu itu hanya pimpinan atasan Pas. Pengikut di akar umbi Pas seperti hambar. Begitu juga dengan Umno” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada program Merdeka Fun Run 4km Peringkat Zon Chemor, bersempena Sambutan Kemerdekaan @ Komuniti di Dewan Komuniti Klebang Restu, dekat sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Asmuni turut diminta mengulas berkenaan kenyataan beberapa pimpinan Pas yang menyebut kerjasama antara Umno dan Pas adalah selaras dengan kehendak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Asmuni yang pernah menjawat jawatan sebagai Bendahari Pas Pusat itu menyifatkan mereka seolah-olah dengan sengaja telah memutarbelitkan fakta sebenar.

Kata beliau semasa Allahyarham masih hidup, banyak ucapannya telah menyebut bahawa beliau tidak merestui sebarang usaha untuk menjalinkan kerjasama antara Pas Umno.

“Dalam salah satu mesyuarat yang dihadiri Allahyarham, beliau sebutkan secata tegas bahawa tidak merestui cubaan untuk kerjasama tersebut kerana pada masa itu sudah ada bibit-bibit usaha hendak menyatukan Pas dan Umno.

“Saya tak nampak bagaimana dikatakan Allahyarham Nik Abdul Aziz merestui perkara ini. Bagaimana ada cubaan untuk membuat penyelewengan fakta yang dibuat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kalau hendak berbaik dengan Umno, berbaiklah. Tetapi jangan selewengkan fakta yang semua ahli Pas tahu” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");