Perak Hari Ini

Kes Pecah Rumah, Kilang: Ketua Geng Appu Boy, Athi Berjaya Dicekup

SUNGAI SIPUT: Sebuah mesin perakam waktu, dua buah televisyen dan tiga raket pingpong bernilai ratusan ringgit merupakan antara barang yang dipercayai telah dicuri oleh dua kumpulan penjenayah pecah rumah dan kilang yang aktif di daerah ini sejak tahun lalu.

Dalam satu operasi pada Isnin minggu lalu, pihak polis telah berjaya menahan dua orang lelaki yang disyaki terlibat dengan kejadian tersebut selepas mendapati mereka memiliki perkakas pecah rumah.

Ekoran penahanan itu, polis kemudiannya berjaya menahan lima suspek lain dipercayai menganggotai kumpulan pecah rumah dan kilang iaitu Geng ‘Appu Boy’ dan ‘Athi’ yang kesemuanya berumur lingkungan 19 ke 37 tahun.

Dua yang ditahan juga dipercayai merupakan ketua kumpulan masing-masing yang menjadi dalang jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata hasil tangkapan itu polis turut berjaya merampas beberapa barang lain seperti kipas, dua set komputer, sebuah kamera litar tertutup (CCTV), gergaji besi, alat pembaca suhu, dan sebuah lori.

“Kita dah pernah menangkap beberapa individu dalam kumpulan itu sebelum ini, namun selepas menjalani hukuman, mereka kembali aktif melakukan jenayah sama.

“Kesemua tujuh yang ditahan ini mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah. Ada antara mereka ini akan dituduh di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini kerana ketika ditangkap, hampir kesemua mereka ini didapati positif dadah,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput Utara di sini, hari ini.

Selain itu jelasnya, bagi mengelakkan aktiviti kumpulan penjenayah yang mengenali antara satu sama lain itu dikesan, mereka telah menjadikan hotel bajet di daerah ini sebagai tempat untuk menyimpan barang-barang yang telah dicuri.

Namun katanya taktik mereka itu tumpas hasil serbuan dan pemeriksaan pihak polis yang dijalankan dari semasa ke semasa terhadap hotel-hotel bajet di daerah sama.

Sementara itu, bagi membantu siasatan Mohd Khaizam berkata polis sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki, berusia 24 tahun yang dipercayai telah melarikan diri.

Suspek yang dipercayai menganggotai Geng Appu Boy itu dipercayai berasal dari Kampung Tersusun Kemuning, dekat sini.

“Hari ini dua orang dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Siput dan seorang di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. Selebihnya akan dituduh dalam minggu ini. Mereka direman bermula Sabtu lalu sehingga Jumaat ini,” katanya.

Ujarnya kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 (1) (ii) Akta Kesalahan Kecil Kerana Memiliki Peralatan Pecah Rumah serta Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Dalam pada itu menurutnya, hasil tangkapan tersebut, sebanyak 12 kes daripada 21 laporan polis yang dibuat daripada Januari sehingga September ini telah berjaya diselesaikan.

Sekiranya orang ramai di sekitar Sungai Siput mempunyai maklumat berkaitan jenayah pecah rumah dan kilang atau mana-mana kejadian jenayah lain, mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sungai Siput Utara di talian 24 jam, 05-5980134 atau 05-5982222

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");