Berita Hari Ini

Khalid Samad Terima Permohonan Maaf

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menerima permohonan maaf daripada Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM) Wan Asshima Kamaruddin membabitkan penerbitan video yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya berkaitan penganjuran pesta gay.

Penyelesaian kes saman fitnah secara baik itu dibuat selepas Wan Asshima, 35, selaku defendan bersetuju memohon maaf kepada Khalid, 62, selaku plaintif dan penyelesaian persetujuan secara baik itu direkodkan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Wan Asshima dalam permohonan maaf yang dibacakan di mahkamah itu mengakui terdapat kesilapan fakta yang diterbitkan menerusi akaun Facebook miliknya pada 18 Ogos 2018.

“Saya menyesali bahawa tuduhan tanpa bukti dan tidak berasas di dalam video itu telah menyebabkan kesusahan, kehinaan dan ketidakselesaan terhadap YB Khalid.

“Saya juga ingin memohon maaf kerana sudah mempersoalkan, mencabar dan menuduh YB Khalid dan keluarganya untuk membuktikan bahawa mereka tidak mengamalkan gaya hidup LGBT.

“Saya faham kenyataan itu adalah palsu dan fitnah, mempunyai implikasi negatif dan dengan ini sepenuh hati memohon maaf YB Khalid dan keluarganya,” katanya.

Selepas selesai membaca kenyataan itu, Khalid bersetuju dengan permohonan maaf yang dibuat oleh Wan Asshima.

Sebelum merekodkan penyelesaian kes, Nik Hasmat sempat menasihati defendan supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kenyataan.

“Ini adalah kenyataan maaf tanpa sebarang syarat jadi ambil ini sebagai iktibar serta jangan ulangi lagi. Kes ini membabitkan orang kenamaan. Kita semua kenal siapa YB dan banyak telah membaca perkara ini.

“Jadilah seorang yang bertanggungjawab dengan sebarang kenyataan yang dimuat naik. Jangan sesekali mengeluarkan kenyataan yang memusnahkan tanpa memeriksa sumbernya,” katanya.

Dalam prosiding itu, Khalid diwakli peguam Ahmad Affendi Mohd Nasir, manakala Wan Asshima diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.

Sementara itu, Ahmad Affendi ketika ditemui selepas tamat prosiding berkata, Wan Asshima perlu membuat permohonan maaf dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang perlu dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya mulai hari ini ( Selasa).

Khalid memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 September tahun lalu, melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates dan menamakan Wan Asshima sebagai defendan lapor HMetro.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");