Membawang Hari Ini

Kolaborasi Dengan PM Pencapaian Terindah Kerjaya Seni Hazama

KUALA LUMPUR: Pelbagai catatan manis dilakar penyanyi dan pelakon, Hazama Ahmad Azmi sepanjang 2019, sekali gus mengukuhkan posisinya sebagai insan seni yang disegani.

Selain diberi penghormatan menjalin kolaborasi bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menerusi lagu patriotik, Anak Bangsa Malaysia, Hazama turut melakar sejarah dalam kerjayanya apabila berpeluang beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).

Penyanyi yang popular dengan lagu Relakan Jiwa dan Penglipur Lara berusia 34 tahun itu menjadi antara bintang termuda membuat persembahan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menerusi Konsert Rock Tri-O.

“Secara peribadi, saya sangat teruja kerana bukan calang-calang penyanyi mendapat peluang membuat persembahan bersama MPO. Sebelum ini, ramai penyanyi membuat persembahan di dewan berprestij itu, namun konsert ini agak berbeza kerana diiringi MPO.

“Saya akui, ia agak mencabar, apatah lagi ini kali pertama saya beraksi diiringi orkestra. Insya-Allah, saya akan memberikan persembahan terbaik sepanjang dua malam konsert berlangsung,” katanya.

Rock Tri-O yang menampilkan Hazama bersama dua penyanyi rock tempatan iaitu Datuk Hattan dan Azlan & The Typewriter bakal berlangsung pada 16 dan 17 November depan.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam lagu Anak Bangsa Malaysia, Hazama berkata, penerbitan video muzik lagu itu menjadi platform menyatukan rakyat negara ini tanpa mengira kaum dan agama.

Dihasilkan sepenuhnya Amin Iskandar, Hazama mengakui, kesempatan berharga itu tidak mampu dilepaskan memandangkan ia turut menampilkan pemimpin negara.

“Apabila dihubungi Amin untuk menyanyikan lagu ini dan dimaklumkan, ia turut menampilkan Tun Dr Mahathir, saya terus bersetuju. Sebagai anak Malaysia, ini antara sumbangan kecil saya kepada negara.

“Lagu ini juga menjadi medium untuk saya menyampaikan mesej positif pada masyarakat, terutama liriknya yang bercerita mengenai konsep bangsa Malaysia, iaitu suatu yang dekat dengan Wawasan 2020 ilham Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Dalam video muzik berdurasi 4 minit 10 saat itu, Tun Mahathir muncul mendeklamasikan sajak tiga rangkap yang membawa mesej buat seluruh rakyat Malaysia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");