Berita Hari Ini

Mahkamah Benar Pendakwaan Pinda Notis Lucut Hak BN Johor Bahru

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan Barisan Nasional (BN) Bahagian Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu berjumlah RM677,872.55.

Wang tersebut disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Allan Suman Pillai memohon untuk meminda notis lucut hak tersebut mengikut Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966 ketika pengurusan kes berkenaan, di Kuala Lumpur, hari ini.

Allan Suman berkata pihak pendakwaan memerlukan masa selama dua minggu untuk memasukkan nama pemegang jawatan dalam notis itu.

Beliau juga memaklumkan bahawa tiada pihak ketiga hadir pada prosiding hari ini untuk menuntut wang yang disita.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah oleh peguam Syahrul Syazwan Salehin,yang mewakili BN Bahagian Johor Bahru, yang dinamakan sebagai responden tunggal.

Beliau berkata sebarang permohonan pindaan perlu dibuat secara rasmi supaya pihaknya dapat meneliti permohonan itu jika ada bantahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Okt ini untuk sebutan kes itu.

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");