Sukan Hari Ini

Mahu Sarung Jersi Negara

WALAUPUN hanya Sukan SEA, anak Melayu yang beraksi di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal tetap memiliki semangat patriotik untuk menyarung jersi Malaysia meskipun cita-citanya mewakili AS di peringkat senior.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, sebagai pemain muda dan karier bola sepak masih panjang sudah tentu dia mahu mencapai prestasi atau kejayaan yang lebih gemilang termasuk beraksi di pentas Piala Dunia.

Beliau berkata, beraksi di kejohanan terbabit menjadi setiap impian pemain profesional kerana menghimpunkan individu terhebat dalam sukan nombor satu dunia itu.

“Sebagai seorang pemain sudah tentu mengimpikan mahu bermain di pentas antarabangsa terutama di kejohanan Piala Dunia sekali gus bakal menempa nama sebagai antara pemain terbaik nanti.

“Kita tidak boleh menghalang impian setiap pemain itu dan kemungkinan peluang dia beraksi di Piala Dunia lebih besar jika bermain bersama skuad Amerika Syarikat.

“Namun, dia tetap mempunyai semangat patriotik kepada Malaysia apabila mahu menyumbangkan sesuatu kepada negara iaitu beraksi bersama skuad Bawah 23 di Sukan SEA nanti,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan bapa pemain terbabit, Wan Kamal menjelaskan anak keduanya itu meluahkan hasrat untuk beraksi bersama pasukan bola sepak Malaysia dengan tumpuan hanya terarah kepada skuad bawah umur seperti pasukan B-23 negara.

Katanya, Wan Kuzain atau pernah diberikan jolokan ‘Messi Amerika’ ketika remaja mengakui anaknya itu bakal menyertai latihan pusat bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 tidak lama lagi.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seorang pemain hanya boleh bermain untuk satu pasukan kebangsaan saja.

Namun peraturan itu berbeza bagi peringkat bawah umur di mana FIFA membenarkan pemain untuk mewakili lebih daripada satu pasukan di peringkat antarabangsa selagi ia masih tidak meraih cap pertama bersama skuad senior.

Justeru, Wan Kuzain yang ketika ini beraksi dengan kelab Sporting Kansas City dalam Major League Soccer (MLS) di AS masih mampu mewakili negara Uncle Sam itu meskipun bermain untuk skuad B-23 di temasya Sukan SEA Filipina November ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");