Perak Hari Ini

“Masa Untuk Kerja, Cukup-cukuplah Berpolitik”

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali lagi mengulangi saranannya kepada pihak pembangkang di negeri ini untuk berhenti seketika dalam berpolitik sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha yang melibatkan kebajikan rakyat.

Beliau juga mengulangi kenyataannya yang mana masih selesa bersama barisan Exco Kerajaan Negeri sedia ada selain menegaskan bahawa pentadbiran Kerajaan Perak sehingga kini berjalan dengan baik.

Semalam, media melaporkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa bahawa kerajaan negeri pada masa kini semakin rapuh.

Katanya ia kerana tiga daripada 10 Exco Kerajaan Negeri kini didakwa sedang bermasalah yang antaranya melibatkan kes perbicaraan mahkamah, ada yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta ada yang didakwa cuba memujuk Adun Pembangkang untuk menyokongnya sebagai Menteri Besar.

Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata tindakan Adun Kota Tampan itu tidak hanya bermotifkan untuk melemahkan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau juga menyifatkan bahawa tindakan tersebut juga merupakan cubaan untuk merencatkan usaha kerajaan negeri untuk membangunkan Perak dan seterusnya akan merugikan semua pihak termasuk rakyat.

Katanya lagi, sekiranya pihak pembangkang masih mahu berpolitik, ia boleh dilakukan apabila menjelang musim Pilihanraya Umum yang akan datang.

“Tak payah nak cerita tentang perkara dalam PH. Perkara yang terlibat dengan mahkamah juga tidak perlu disentuh. Saya berasa amat selesa dengan Exco saya dan pentadbiran berjalan dengan baik.

“Seperti saranan saya selama ini. Hentikanlah berpolitik. Tidak perlu bercakap soal politik.

“Tetapi, beri fokus bagaimana beliau boleh sama-sama menjalankan peranan sebagai ketua pembangkang, untuk turut beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Larian Untuk Keamanan 2019 anjuran Soka Gakkai Malaysia (SGM) Cawangan Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menyifatkan bahawa tidak ada perkara yang sempurna daripada sebarang masalah di dunia ini.

“Mana ada satu manusia yang keadaan sempurna dan tidak ada masalah. Datuk Saarani tidak ada masalah juga ke?

“Jika beliau tidak ada masalah mesti beliau tidak jadi orang politik. Semua manusia akan ada masalah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");