Panasnya Hari Ini

Masalah Dalaman PKR: Tidak Perlu Lantik Orang Tengah – Tian Chua

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin kanan PKR berpendapat tiada keperluan melantik orang tengah bagi mendamaikan pihak bertelagah demi menghentikan polemik yang didakwa boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

Naib Presiden PKR, Tian Chua, sebaliknya yakin masalah dalaman parti itu yang didakwa banyak pihak sebagai tiada penghujung, mampu diselesaikan melalui perbincangan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut apabila ditanya bentuk perbincangan yang boleh dilakukan ketika ada kalangan pihak yang bertelagah itu enggan berkompromi, termasuk gagal menghadiri mesyuarat.

“Saya yakin masalah dalaman PKR boleh diselesaikan secara perbincangan. Ia tidak memerlukan orang tengah atau individu berkecuali,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Semalam, penganalisis politik mengesyorkan pelantikan orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian menerusi meja rundingan.

Mereka berpendapat individu berkecuali yang tidak memihak kepada mana-mana kumpulan, bukan orang politik, berada di luar parti dan dihormati kedua-dua pihak, antara kriteria perlu diambil kira dalam pelantikan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, dilaporkan berkata sudah tiba masanya kepemimpinan PKR melihat keperluan melantik orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian, sekali gus menghentikan perpecahan dalaman parti itu.

Pandangan itu turut dikongsi pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan yang berpendapat wujud keperluan melantik orang tengah dihormati kedua-dua pihak untuk membawa pihak bertelagah ke meja rundingan, sekali gus menoktahkan kemelut itu.

Pergeseran dalaman PKR dikatakan menjadi punca Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, serta beberapa pemimpin parti itu tidak hadir ke mesyuarat parti seperti Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik.

Ia disusuli kenyataan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin yang memaklumkan ketidakhadiran mereka disebabkan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak melayan permintaan mengadakan pertemuan khas dengan mereka.

Bagaimanapun, Anwar tetap dengan pendirian supaya pemimpin terbabit hadir ke mesyuarat parti jika mahu isu berbangkit diselesaikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");