Berita Hari Ini
Like

Menteri Bertemu Pegawai Indonesia Suarakan Masalah Jerebu

September 11, 2019
257 Views
0 Comments
2 minutes read
Menteri Bertemu Pegawai Indonesia Suarakan Masalah Jerebu

Malaysia mengulangi kebimbangannya berhubung kesan jerebu rentas sempadan yang berterusan kepada penduduk negara ini dan menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk memadamkan kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera.

Perkara itu dinyatakan dalam pertemuan diketuai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin bersama Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya Agung Cahaya Sumirat.

Dalam pertemuan semalam itu, beliau disertai para pegawai daripada kementeriannya selain daripada Kementerian Luar.

“Dari segi diplomatik, kami mendapat maklumat terkini daripada Kementerian Luar bahawa Duta Malaysia di Indonesia Zainal Abidin Bakar mengadakan pertemuan dengan para pegawai kanan Indonesia semalam untuk berbincang tentang jerebu rentas sempadan yang ketika ini menjejaskan Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dimuatkan dalam Facebook.

Menurut Yeo, kerajaan Indonesia menyelaraskan dengan institusi berkaitan untuk memastikan tindakan bersepadu diambil bagi menangani punca sebenar masalah itu.

Indonesia, kata beliau, telah menyatakan komitmennya untuk menangani isu jerebu rentas sempadan termasuk menugaskan 1,994 anggota di Sumatera dan 860 anggota di Kalimantan dengan 1,677 lagi sukarelawan dikerah untuk membantu memadamkan kebakaran hutan.

Yeo berkata 16 helikopter digunakan di Kalimantan untuk melaksanakan pengeboman air di kawasan strategik manakala pasukan penguatkuasaan pula menahan pihak yang bertanggungjawab terhadap aktiviti pembakaran haram itu.

Menteri itu menegaskan musim kering dan musim monsun barat daya memburukkan lagi kesan jerebu rentas sempadan di Malaysia.

“Kerajaan akan terus melakukan pembenihan awan apabila keadaan mengizinkan dan menghantar bantuan ke Indonesia jika dan apabila mereka menerima tawaran (bantuan) itu,” katanya.

Beliau menjelaskan sejak minggu lepas, jumlah titik panas yang sangat banyak terdapat di Malaysia manakala Kalimantan dan Sumatera masing-masing merekodkan 811 serta 247 titik panas.

Bernama

Komen & Pendapat

Comments are closed.