Berita Hari Ini

MP PKR Persoal PAS Sewa Bas JHEAT

Anggota Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad mempersoalkan pengunaan bas milik Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) oleh PAS Terengganu sewaktu Himpunan Penyatuan Ummah di Kuala Lumpur beberapa hari lalu.

Berkongsi hantaran dan gambar bas berkenaan yang dimuat naik laman Facebook Ana Tahu, Noor Amin berkata beliau belum pernah mendengar bas milik jabatan kerajaan disewakan terhadap mana-mana parti politik.

“Saya faham bab sewa. Cuma saya belum pernah dengar ia (bas kerajaan) dibenarkan kepada parti politik.

“Dalam kata lain, sewaan yang dibuat cenderung tak adil dan saya tahu premis kerajaan tidak boleh disewa oleh parti. Itu baru satu persoalan,” kata Pengerusi PKR Perlis itu yang turut menandakan nama seorang penyokong PAS, Abdul Rahim Hilmi Zakariya di akaun Facebook miliknya.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan melalui hantaran laman Facebook Ana Tahu beserta gambar beberapa penyokong PAS dilihat berlatar belakangkan sebuah bas milik JHEAT.

“Untunglah pergi PWTC program politik naik bas kerajaan yang guna duit rakyat bayar. Kalau PH buat siang malam kena maki. Parti ana buat terus jadi mulia dan dapat ganjaran syurga. Takdir!” kata pentadbir laman berkenaan.

Bagaimanapun, Abdul Rahim menjelaskan jabatan kerajaan dan negeri sudah mula menjana pendapatan melalui sewaan aset-aset tetap dan kenderaan.

“Ada seorang ahli parlimen PH tag saya berkenaan penggunaan bas Jabatan Agama Negeri Terengganu bagi tujuan mengangkut peserta perhimpunan HPU pada Jumaat lepas.

“Saya kasihan juga. Sebenarnya sejak beberapa tahun lepas, jabatan-jabatan kerajaan dan negeri termasuk universiti awam sememangnya mula menjana pendapatan sendiri melalui sewaan aset-aset tetap dan kenderaan.

“Bagi isu Terengganu, saya difahamkan sewaan dibayar kepada JHEAT pada kadar RM1200 sehari (sewaan 2 hari),” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

‘Macam PKR tak pernah buat’

Pertikaian itu tidak berhenti apabila Abdul Rahim pula mempersoalkan Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan kenderaan jabatan perhutanan ketika berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands Januari lalu.

“Hanya orang bodoh sahaja yang cuba menyamakan sewaan bas jabatan dengan tindakan MP PH yang guna kenderaan jabatan hutan ketika berkempen di PRK Cameron Highlands.

“Menggunakan kenderaan rasmi kerajaan bagi tujuan berkempen adalah satu kesalahan jelas dalam demokrasi pilihan raya,” katanya lagi.

Terdapat juga warga maya yang turut sama membidas kenyataan Noor Amin di halaman hantaran penyokong PAS tersebut.

“Macam PKR tak pernah buat, kau orang (PKR) pakai dewan orang ramai tak apa ke?

“Kau orang buat election party atas jalan raya ke?”soal pemilik Facebook, Mohd Safiuddin yang berkongsi pautan berita pemilihan PKR Kedah Oktober tahun lalu di Pusat Kegiatan Belia Alor Setar.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan dari pihak JHEAT bagi mendapatkan respons terhadap penggunaan bas tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");