Berita Hari Ini

MTUC Gesa Kerajaan Tetapkan Nisbah Pengambilan Pekerja Ikut Kaum

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Putrajaya menggariskan satu garis panduan dalam akta yang menetapkan nisbah kaum dalam pengambilan pekerja sesebuah syarikat.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor berkata dakwaan Kementerian Sumber Manusia yang mengatakan pihaknya tidak mengesan mana-mana majikan di negara ini memilih dan membuat pengambilan pekerja berorientasikan satu kaum adalah tidak tepat.

“Pembahagian nisbah kaum dalam tempat kerja tidak mencerminkan suasana Malaysia. Memang ada sesebuah syarikat mengambil pekerja berbangsa Melayu, Cina dan India tetapi jika pengurusannya berbangsa Cina, maka bangsa lain akan terpinggir dari mendapatkan jawatan di syarikat itu,” katanya kepada FMT.

Kementerian juga, katanya, harus meneliti dan menyemak nisbah pengambilan pekerja mengikut kaum dalam sesebuah syarikat kerana berpandangan ia tidak mencerminkan populasi dan nisbah penduduk di negara ini.

“Ia berdasarkan pecahan kaum di dalam negara. Ini yang masih tidak berlaku kerana apa yang terjadi pada hari ini tidak berdasarkan corak penduduk di Malaysia. Apabila sesebuah syarikat dikuasai pekerja dari sesetengah kaum tertentu, maka akan beri kesan kepada operasi syarikat.

“Itu yang menyebabkan apabila ada sambutan hari raya Aidilfitri, sesetengah operasi kilang kena tutup, begitu juga apabila ada sambutan Tahun Baru Cina. Perkara itu yang kita tidak mahu kerana daya saing kita perlu seiring dengan revolusi industri 4.0,” katanya.

Abdul Halim berkata kementerian harus berhati-hati menggunakan dapatan yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja kerana jumlah syarikat berdaftar dengan jabatan itu melebihi 500,000 dan percaya laporan dikeluarkan bukanlah laporan penuh.

Terdahulu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata, kementeriannya tidak mengesan mana-mana majikan di negara ini yang memilih serta membuat pengambilan pekerja berorientasikan satu kaum sehingga mengetepikan hak kaum lain.

Mahfuz berkata, maklumat diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja dan Jobstreet Malaysia mendapati belum ada sebarang aduan berhubung perkara itu dan jikalau ada ia hanya kes terpencil dan melibatkan sentimen individu.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas dakwaan segelintir pihak dalam laman sosial, terutama Facebook yang mendakwa kebanyakan majikan di negara ini mengambil pekerja berdasarkan kaum lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");