Berita Hari Ini

Muhyiddin Jumpa Dong Zong Johor, RoS Esok Berkenaan Isu Pembatalan Pendaftaran

PUTRAJAYA- Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu dengan Dong Zong Johor dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) esok bagi membincangkan isu pembatalan pendaftaran persatuan di bawah Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu.

Katanya beliau difahamkan pembatalan Dong Zong Johor disebabkan oleh masalah pengurusan yang tidak mematuhi peraturan-peraturan di bawah RoS.

“Saya telah diberi satu laporan dan esok mereka akan hadir, saya akan jemput RoS bersama-sama dan lihat apa yang boleh dilakukan. Mana yang boleh kita perbetulkan, kita perbetulkan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, Dong Zong dilaporkan mengemukakan surat rayuan kepada KDN berhubung pembatalan pendaftaran Dong Zong Johor oleh RoS negeri itu.

Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong, Low Chee Chong dilaporkan berkata Dong Zong pada 20 Ogos lepas menerima surat pembatalan bertarikh 8 Ogos daripada Pengarah RoS Johor dengan alasan tidak menerima sebarang penjelasan mengenai pindaan perlembagaan persatuan berkaitan penglibatan guru.

Mengenai isu pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik yang dijemput ke sebuah program di Melaka pada Sabtu ini, Muhyiddin berkata tiada halangan untuk pendakwah itu menyertai program tersebut jika beliau tidak menyampaikan ceramah.

Katanya beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah bahawa Zakir dibenarkan hadir kerana beliau hanya akan turut serta untuk solat bersama-sama jemaah.

“Kami tidak akan mengawalnya 100 peratus. Kalau hendak sembahyang, ikut majlis itu tiada sesiapapun boleh sekat dan halang,” katanya.

Semalam, Raja Shahrom dilaporkan berkata tiada halangan terhadap program Malam Islam Bersatu yang akan diadakan di Masjid Cina Melaka di Krubong pada Sabtu ini yang turut dihadiri Zakir.

Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri Malaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sebelum ini berkongsi poster program berkenaan memaklumkan bahawa Zakir akan menyertai solat berjemaah dan ibadah sunat di masjid itu yang kemudiannya dipertikai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");