Perak Hari Ini

PDRM Akan Ketatkan Syarat Lulus Lesen Senjata Api

TAPAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan syarat-syarat pemberian lesen senjata api pada masa akan datang.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata langkah itu diambil sebagai usaha membendung kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram ke atas hutan di negara ini.

Katanya sehingga kini, hampir 30,000 lesen senjata api telah dikeluarkan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 740 pemegang lesen telah diberi permit memburu.

“Lesen memburu bukanlah lesen untuk mereka bebas melakukan aktiviti pemburuan. Ia bukan lesen untuk mereka dengan sengaja masuk ke hutan dan menembak apa sahaja hidupan dalam hutan.

“Selain itu, ada juga situasi di mana dahulu, pemegang lesen ada mempunyai tanah kebun yang perlu dilindungi daripada binatang pemusnah. Dan kini dia tidak lagi mempunyai tanah itu.

“Jadi, lesen senjata apinya akan dibatalkan dan senjata api miliknya akan ditarik balik. Saya akan ketatkan kawalan pemberian lesen-lesen senjata api,” katanya.

Tambahnya, beliau juga akan mengesyorkan hukuman sebat mandatori ke atas pihak yang terlibat dalam menjalani aktiviti pemburuan haram di negara ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Datuk Abdul Kadir Hashim dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Mengulas lanjut tentang operasi tersebut, Abdul Hamid berkata PDRM akan melaksanakan usaha secara holistik bersama-sama PERHILITAN dalam usaha membendung kegiatan pemburuan dan pencerobohan haram ke atas hutan di Malaysia.

Katanya antara unit yang terlibat dalam Operasi Bersepadu Khazanah itu adalah PGA Batalion 3 Senoi Praq dan PGA Batalion 18 Pengkalan Hulu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan turut melibatkan Komando VAT 69 dalam operasi tersebut.

“Ini komitmen yang saya berikan kepada kerajaan dan kepada orang ramai yang telah lama menangisi tentang apa yang berlaku terhadap khazanah negara kita.

“Sebelum ini warga-warga asing dengan mudah memasuki hutan kita dan mencuri bukan sahaja haiwan malah kayu-kayu kita seperti gaharu. Mereka ini pula dibantu oleh satu sindiket antarabangsa untuk menjalankan aktiviti perdagangan melalui hasil rompakan ini,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, terdapat beberapa kawasan titik panas yang dikenal pasti menjadi laluan bagi aktiviti penyeludupan hasil hutan dan haiwan yang terkawal.

Antaranya, Bukit Kayu Hitam di Kedah; Pengkalan Hulu, Perak; Rantau Panjang, Kelantan; Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); Kudat, Sabah serta Lubok Antu di Sarawak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");