Berita Hari Ini

PDRM Minta Kaji Semula Elaun UTK

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta kerajaan mengkaji semula elaun khas yang diterima anggota Unit Tindakan Khas (UTK) supaya setimpal dengan tugas dan risiko yang dipikul.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata permohonan untuk kenaikan elaun khas UTK sudah pun dikemukakan oleh pucuk pimpinan PDRM sejak 2014.

“Pada 2014, permohonan kenaikan elaun khas pasukan itu sudah diangkat untuk dikaji semula, malangnya tiada sebarang perkembangan sehingga kini.

“Elaun khas sedia ada yang diterima kini mengikut tempoh tahun bertugas adalah antara RM600 hingga RM950,” katanya ketika berucap pada Majlis Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar ke UTK di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di sini, hari ini, lapor BH Online.

Katanya, kenaikan elaun khas itu adalah setimpal dengan kepakaran dan kelebihan yang dimiliki anggota UTK yang tergolong sebagai individu bernilai tinggi di samping risiko keselamatan yang tinggi ketika mereka melaksanakan tugas.

Dalam pada itu, katanya PDRM juga memohon kerajaan mempertimbangkan untuk menambah baik kelengkapan dan peralatan untuk memperkasa peranan UTK.

“Ini penting dalam memastikan mereka mampu dan bersiap siaga untuk berhadapan dengan cabaran semasa yang semakin kompleks.

“Ia juga selaras dengan pembinaan Kompleks UTK di Semenyih bernilai RM200 juta yang dijangka siap pada 2022, yang mana dengan kewujudan kompleks itu akan memantapkan lagi gerak kerja pasukan UTK,” katanya.

Selain itu, katanya PDRM kini dalam usaha untuk memperbesarkan lagi perjawatan untuk pegawai dan anggota UTK kepada 888 orang yang mana kertas cadangannya sudah dikemukakan tahun lalu.

Buat masa ini, katanya UTK yang ditubuhkan sejak 1 Januari 1975 mempunyai 409 pegawai dan anggota membabitkan elemen operasi dan bukan operasi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");