Perak Hari Ini

Pemilik Premis Kesal Disaman, Dakwa Tidak Diberi Notis Awal

IPOH: Beberapa pemilik premis perniagaan di Jalan Horley dekat sini meluahkan rasa kekecewaan mereka apabila mendakwa tidak menerima sebarang notis awal atau amaran sebelum dikenakan tindakan saman kerana tidak mempunyai lesen perniagaan.

Salah seorangnya, Mah Sau Lan, 62, berkata premisnya telah didatangi beberapa anggota penguatkuasa dari sebuah pihak berkuasa tempatan pada 19 September lalu.

Katanya, akibat gagal mempamerkan bukti dokumen lesen perniagaan premisnya, dia dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM250, sebelum dia kemudian menyelesaikan saman tersebut di pejabat pihak berkuasa tempatan itu.

“Saya katakan bahawa lesen perniagaan premis saya berada di Ibu Pejabat di Kuala Lumpur. Ketika itu, saya ada cuba menghubungi ibu pejabat namun individu yang bertanggungjawab bercuti.

“Kerana gagal menunjukkan dokumen lesen perniagaan, premis saya akhirnya dikenakan kompaun,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan MCA Perak, di sini, hari ini.

Katanya selama 15 tahun mengusahakan syarikat agensi pelancongannya itu, beliau tidak diberi maklum berkenaan lesen perniagaan tersebut.

Malah katanya ia merupakan kali pertama premisnya dikenakan tindakan sedemikian.

Selain itu, pemilik sebuah lagi premis syarikat agensi pelancongan yang beroperasi di jalan yang sama juga menzahirkan kekesalannya apabila dikenakan dua saman berkaitan ketiadaan lesen perniagaan dan lesen papan tanda premis.

Woo Yong Qin, 36 berkata syarikatnya sudah pun membuat permohonan bagi mendapatkan lesen papan tanda tersebut sejak mula membuka perniagaan pada tahun 2012.

Namun katanya permohonan itu tidak berjaya kerana mendakwa pihak berkuasa tempatan memaklumkan kepadanya bahawa kesemua fail syarikat dan premis miliknya telah hilang.

“Ia pada tahun 2017. Dan ketika itu juga saya membuat permohonan kedua. Sehingga sekarang permohonan saya masih belum diluluskan. Namun saya tetap dikenakan tindakan kompaun,” katanya.

Katanya ketika membuat permohonan di pejabat pihak berkuasa tempatan itu, dia tidak dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas berkenaan kewajipan memiliki lesen perniagaan.

Dalam pada itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata pihak berkuasa tempatan seharusnya mengeluarkan surat amaran awal sebelum bertindak mengeluarkan kompaun kepada kesalahan-kesalahan berkenaan.

Ujarnya lagi, pihak berkuasa tempatan juga seharusnya memudahkan urusan permohonan lesen perniagaan yang dikatakan agak rumit.

“Ada suatu keadaan di mana papan tanda premis itu mempunyai nombor siri lesen. Tetapi tetap disaman. Sepatutnya pegawai yang bertugas boleh memeriksa nombor siri lesen itu terlebih dahulu.

“Kerana sekiranya mempunyai lesen pada papan iklan sudah semestinya premis itu sudah mempunyai lesen perniagaan,” katanya.

Pada perkembangan sama, jurucakap pihak berkuasa tempatan dalam satu kenyataan ringkas berkata, langkah mengadakan pemeriksaan sedemikian sentiasa dijalankan secara berkala di sekitar bandaraya.

Katanya ia bertujuan bagi memastikan semua premis perniagaan memiliki lesen perniagaan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.

“Di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2017, mana-mana premis yang tidak memiliki lesen tersebut akan dikenakan tawaran kompaun RM250,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");