Berita Hari Ini

Pengurusan Kes Riza 6 Disember Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 6 Disember 2019 bagi pengurusan kes pengubahan wang haram dihadapi anak tiri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz, membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion).

Hakim Rozina Ayob, menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya perlu lengkapkan beberapa dokumen berkaitan kes itu.

“Pihak pendakwa memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan dokumen berkaitan dengan kes dan diserahkan kepada pembelaan,” katanya.

Dalam prosiding itu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh, yang mewakili Riza mengesahkan perkara itu.

Pada 9 Ogos lalu, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 Januari 2020 untuk perbicaraan.

Semalam, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Riza bagi memindahkan kes untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas menolak permohonan pembelaan apabila mendapati Mahkamah Sesyen adalah kompeten (mempunyai keupayaan) untuk mendengar kes itu.

Dalam penghakimannya Mohd Nazlan berkata, Hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar kes itu mempunyai pengalaman dalam mendengar kes-kes jenayah termasuk kes pengubahan wang haram.

Pada 5 Julai lalu, Riza, 43, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan membabitkan diri dengan menerima wang daripada hasil pengubahan wang haram berjumlah AS$248.173 juta (kira-kira RM1bilion) lapan tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, dan kedua Riza didakwa menerima hasil daripada kegiatan haram masing-masing AS$1,173,104 dan AS$9 juta.

Ia dilakukan melalui transaksi pemindahan wang dari akaun milik Good Star Limited di RBS Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) milik Red Granite Production Inc, yang mana wang itu adalah hasil penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di City National Bank Los Angeles Main, 525 South Flowers Street, Los Angeles California, AS antara 12 April 2011 hingga 10 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima pula, anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor itu didakwa menerima AS$238 juta daripada akaun milik Aabar Investments PJS Limited di BSI SA Lugano ke akaun BSI Bank Ltd Singapore milik syarikat Red Granite, yang mana wang itu adalah hasil penyelewengan 1MDB.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Jun 2012 hingga 14 November 2012 di BSI Bank Ltd, 7 Temasik Boulevard, #32-01 Suntec Tower One Singapura.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya lapor BHarian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");