Berita Hari Ini

Peperiksaan Awam Ditangguh Jika IPU 300 Ke Atas

BANGI: Peperiksaan awam, termasuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijadualkan bermula 30 September ini, akan ditangguhkan jika keadaan jerebu berterusan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 300 ke atas.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Sekolah), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata penangguhan peperiksaan awam itu akan membabitkan seluruh negara walaupun jika hanya sebuah stesen pencerapan mencatatkan bacaan IPU 300 ke atas.

“Keputusan penangguhan peperiksaan awam ini bagaimanapun akan dibuat pada peringkat Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang media, di sini, lapor BH Online hari ini.

Media sebelum ini melaporkan enam lokasi di Sarawak tersenarai antara kawasan pencemaran udara tertinggi dunia berikutan masalah jerebu rentas sempadan setakat jam 12 tengah hari Khamis lalu.

Berdasarkan laman web World’s Air Pollution: Real-time Air Quality Index (WAQI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), lokasi terbabit meliputi Kuching yang mencatat bacaan IPU 270, Sibu (245), Sarikei (237), Samarahan (224), Sri Aman (212) dan Mukah (208).

Masalah jerebu yang sedang melanda negara menyebabkan lebih 2,000 sekolah ditutup selepas bacaan IPU melebihi paras 200.

Dalam pada itu, Ahmad Rafee berkata, sekolah akan ditutup akibat jerebu sekiranya IPU mencatat bacaan 200 ke atas dengan keputusan berhubung perkara itu dibuat pada peringkat pengurusan sekolah.

“Keputusan ini (penutupan sekolah) dibuat berdasarkan bacaan IPU 200 ke atas dalam laman web Jabatan Alam Sekitar pada jam 5 petang setiap hari, dan tidak perlu diganti selepas mengambil kira ia tergolong sebagai bencana alam.

“Bagi meneruskan pengajaran dan pembelajaran walaupun sekolah diarahkan tutup, kita sudah menyediakan pelantar pembelajaran digital secara percuma di portal.moe.edu.my atau portal.moe-dl.edu.my.

“Portal EduWebTV mengandungi sumber pendidikan digital dalam bentuk video kurikulum dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah dengan guru dan murid boleh akses menggunakan ID log masuk yang dibekalkan kepada mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");