Perak Hari Ini

Perak Mahu Tingkatkan Keselamatan Sempadan Di Hulu Perak

WASHINGTON DC – Kerajaan Perak sedang mengambil beberapa petunjuk daripada perbincangan dengan pegawai-pegawai Amerika Syarikat di sini mengenai cara terbaik bagi memastikan keselamatan sempadannya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara input itu diperlukan bagi meningkatkan keupayaan negeri dalam menangani jenayah merentasi sempadan, terutama di Pengkalan Hulu di daerah Hulu Perak, yang bersempadan dengan Thailand dan Kedah.

“Inilah antara sebab yang perlu kita adakan perbincangan dengan rakan-rakan di Amerika ini untuk membantu kerajaan negeri atau pasukan keselamatan kita untuk membanteras masalah seperti ini,” katanya, sebagaimana dilaporkan Bernama.

Ahmad Faizal berada di sini mengiringi Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam lawatan kerja ke ibu negara Amerika Syarikat, dan kemudiannya ke New York, yang disasar bagi meningkatkan hubungan keselamatan Malaysia dan Amerika.

Selain Menteri Besar, turut bersama dalam rombongan Muhyiddin adalah Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain.

Ahmad Faizal berkata lawatan ke Jabatan Polis New York akan memberikan peluang kepadanya untuk mendapatkan gambaran lebih dekat bagaimana pasukan polis terkenal melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjaga keselamatan di kawasan yang berada dalam bidang kuasanya.

“Tentunya saya yang mewakili kerajaan negeri dan pasukan keselamatan akan dapat input baharu tentang bagaimana kita boleh membawa kemajuan dari segi keselamatan di bandar raya Ipoh dan seluruh negeri Perak,” katanya.

Menteri Besar itu berkata Perak juga berminat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai kelestarian perlombongan.

“Kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan Biro Sumber Tenaga dalam untuk memupuk kelestarian perlombongan,” katanya dengan merujuk kepada agensi di bawah Jabatan Negara Amerika.

“Kita sedia maklum bahawa Perak begitu kaya dengan pelbagai sumber mineral, dan amat penting bagi kerajaan negeri untuk mendapat maklumat lebih mendalam tentang teknologi terkini ke arah melaksanakan usaha perlombongan secara lestari,” katanya.

Ahmad Faizal juga memperakui kepentingan dalam menangani salah tanggapan di kalangan negara-negara barat dalam isu berkaitan penebangan hutan.

“Ini satu perkara yang saya fikir perlu diperjelaskan kepada negara maju seperti Amerika Syarikat adalah betapa kita menjaga alam sekitar kita dengan begitu baik,” katanya, sambil menjadikan Perak dengan sekurang-kurang 48 peratus kawasannya masih diliputi hutan sebagai contoh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");