Perak Hari Ini

Perak Transit Terbit Sukuk Murabahah RM300 Juta Di Bawah Program IMTN Pertama

IPOH: Perak Transit Berhad mengumumkan rancangan bagi menerbitkan Sukuk Murabahah bernilai RM300 juta pada bulan hadapan yang mana United Overseas Bank Malaysia Berhad (UOB Malaysia) akan menjadi pelanggan tunggal.

Sukuk Murabahah yang tidak dinilai itu merupakan tranche atau bahagian yang diterbitkan di bawah Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) untuk tempoh 15 tahun yang mana ia merupakan program IMTN pertama bagi syarikat tersebut.

Justeru itu, Perak Transit dan United Overseas Bank Malaysia Berhad (UOB Malaysia) hari ini telah memeterai satu perjanjian persefahaman bagi langganan terbitan pertama sukuk RM300 juta tanpa nilaian IMTN sehingga RM500 juta di Hotel Weil, di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pengarah Urusan Dan Ketua Perbankan Borong Negara UOB Malaysia , Ng Wei Wei; Ketua Pegawai Eksekutif Perak Transit, Datuk Cheong Peak Sooi; Pengarah Eksekutif dan Ketua Perbankan Komersial Negara UOB Malaysia Beh Wee Khee serta Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Perak Transit Berhad, Datuk Wan Asmadi Wan Ahmad.

Ia turut disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abu Bakar Said.

Pengarah Urusan Perak Transit Berhad, Datuk Seri Cheong Kong Fitt dalam ucapannya berkata dengan usaha ini, syarikat percaya ianya akan mampu membawa syarikat ke hadapan selain akan memberikan pulangan yang terbaik kepada semua pemegang saham.

“Kami mempunyai satu dekad sejarah dalam industri pengangkutan awam, dan saya bangga mengatakan bahawa kami telah berjaya menempat syarikat pada reputasi terkini dalam industri ini.

“Kini, Kumpulan Transit Perak diketuai oleh pasukan pengurusan utama yang berpengalaman dan komited dengan pengetahuan kolektif serta kepakaran yang merentasi spektrum aktiviti perniagaan termasuk operasi bas dan terminal serta perkhidmatan pelanggan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyambut baik dan menyokong program IMTN pertama Perak Transit Berhad dan melanggan tranche pertama nota tersebut.

“UOB Malaysia mempunyai pencapaian rekod yang kukuh dalam pasaran modal islam, memandangkan penglibatan kami dalam pelnagai usaha dan pengumpulan modal islam yang ketara.

“Penyelesaian pembiayaan Islam amat penting kepada rangkaian produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan bagi membantu syarikat-syarikat mencapai matlamat strategik mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");