Berita Hari Ini

Perbicaraan Kes Bunuh CEO Cradle Fund Bermula Hari Ini

SHAH ALAM: Prosiding perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, bermula di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, bermula kira-kira jam 9 pagi.

Kes yang menjadi tumpuan masyarakat itu, sepatutnya memulakan prosiding perbicaraan pada Selasa lalu, namun ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan kerana terbabit dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Wakil media tempatan daripada pelbagai agensi, juga bakal mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Pada 12 Mac lalu, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokannya.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid dijangka memanggil kira-kira 60 saksi sepanjang perbicaraan itu.

Samirah diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");