IPOH- Hampir setiap tahun Jabatan Penerangan Negeri Perak akan menganjurkan pertandingan pidato bagi mencungkil bakat serta menanamkan semangat cintakan negara melalui medium berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi , Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim berkata, anjuran program sebegitu bukan sahaja untuk mencungkil bakat dalam kalangan anak muda tetapi juga mewujudkan kesedaran sayang kepada negara di atas prinsip Rukun Negara.
“Program pidato merupakan salah satu langkah bagi menyahut seruan kelima-lima prinsip Rukun Negara dalam kalangan golongan belia.
“Perkara ini merupakan lumrah di dalam diri kita iaitu dengan meyampaikan berita yang benar serta tidak sewenang-wenangnya menyakiti hati orang lain kerana prinsip Rukun Negara ini sangat penting untuk dihayati demi perpaduan,” katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pertandingan Pidato Kenegaraan Peringkat Negeri Perak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Tapah, di sini, hari ini.
Kata Hasnul, program pidato seperti itu harus diamati dan dijiwai supaya rakyat dapat memahami bahawa bukan mudah untuk meneruskan kesinambungan pejuang asal bagi mendapatkan kemerdekaan.
“Tetapi disini ada beberapa isu yang diselitkan semasa pidato tadi iaitu lewat kebelakangan ini telah wujud kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu mengenai ‘fake news’ sehingga mewujudkan kerenggangan hubungan antara kaum dan agama.
“Melalui medium pidato, ia dapat menjadi cetusan dalam memastikan kerenggangan ini dapat dieratkan semula,” katanya.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Perak, Mohd Taib Ubah dan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Kampus Tapah, Dr Mohd Azian Zaidi.
Dalam pada itu katanya, jika dilihat dari segi penyertaan pertandingan, adanya kepelbagaian bangsa di peringkat daerah walaupun di peringkat akhir hanya melayakkan peserta berbangsa Melayu.
“Jangan pula kita lihat dari wajah atau warna kulit peserta tetapi lihatlah dari isi-isi yang ingin mereka sampaikan kepada pendengar.
“Nilai yang dikongsi sangat menarik dan dihapkan agar para pelajar dapat menjadi agen dalam menyampaikan nilai positif melalui pidato hari ini,” katanya.
Katanya lagi, program berkenaan juga masih lagi relaven dalam memastikan kelima-lima prinsip Rukun Negara diamalkan malah perlu dianjurkan pada setiap tahun.
“Mungkin pada masa akan datang pihak Penerangan boleh menyelitkan sedikit sketsa di mana adanya keterlibatan kepelbagaian bangsa yang akan menjelmakan perpaduan menerusi kepelbagaian,”katanya.
Seramai enam orang peserta telah bertanding bagi mewakili negeri Perak di peringkat Kebangsaan dimana peserta akhir merupakan wakil dari daerah Kuala Kangsar, Batang Padang dan Perak Tengah.