Sukan Hari Ini

Portugal Kembali Bernyawa Di Serbia

BELGRADE: Juara Eropah Portugal menghidupkan kembali kempen kelayakan Euro 2020 dengan kemenangan 4-2 ke atas Serbia dalam saingan Kumpulan B.

Jaringan William Carvalho, Goncalo Guedes, Cristiano Ronaldo dan Bernardo Silva melonjak Portugal ke tangga kedua kumpulan dengan lima mata daripada tiga perlawanan, lapan di belakang pendahulu Ukraine yang mengumpul 13 mata daripada lima perlawanan selepas kemenangan 3-0 di Lithuania.

Luxembourg di tangga ketiga dan Serbia keempat masing-masing mengumpul empat mata daripada empat perlawanan manakala Lithuania tercorot dengan satu mata.

Pengendali Portugal Fernando Santos yang membawa pasukan itu menjuarai Euro 2016 di Perancis dan memenangi gelaran sulung Liga Negara-Negara, berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.

“Kami menunjukkan kreativiti dan melancarkan serangan dalam persembahan mantap yang amat diperlukan untuk menewaskan skuad Serbia yang amat bagus,” kata Santos.

“Mendapatkan gol pembukaan sebelum rehat cukup penting dan di babak kedua kami menguasai permainan. Kami mengatasi barisan tengah mereka dan berhak dengan kemenangan ini.

“Kemenangan ini seharusnya meningkatkan keyakinan kami menjelang kunjungan ke Lithuania pada Selasa dan hanya kemenangan yang dicari kerana ini kumpulan yang sukar.”

Carvalho meletakkan Portugal di depan pada minit ke-42 dan Guedes melebarkan kedudukan 13 minit selepas rehat.

Nikola Milenkovic merapatkan jurang pada minit ke-68 sebelum Ronaldo, yang diejek penyokong tuan rumah setiap kali mendapat bola, menambah jaringan untuk Portugal 10 minit sebelum tamat permainan.

Aleksandar Mitrovic menjaringkan gol kedua Serbia lima minit kemudian tetapi Silva memastikan tiga mata buat Portugal pada minit ke-86. – REUTERS

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");