Berita Hari Ini

PTPTN Serah Analisa Konsultasi Rakyat Kepada KPM

GEORGETOWN- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menyerahkan keputusan analisa Konsultasi Rakyat kepada Kementerian Pendidikan untuk dibuat keputusan di peringkat seterusnya.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, semua pandangan yang diperoleh melalui Konsultasi Rakyat yang berakhir pada 13 Jun lalu itu telah dianalisa dan diserahkan kepada kementerian tersebut untuk diputuskan.

Menurutnya, proses di peringkat PTPTN telah selesai dan keputusan perlu dibuat oleh Kementerian Pendidikan sebelum dibawa ke Kabinet.

“Konsultasi Rakyat yang berakhir Jun lalu telah kita analisa. Pihak PTPTN telah serahkan kepada Kementerian Pendidikan, jadi pihak kementerian perlu membuat keputusan seterusnya dibawa ke Kabinet.

“Di peringkat PTPTN, analisa yang perlu dibuat, cadangan yang perlu disampaikan, telah kami laksanakan. Ada beberapa komen yang dibuat kementerian kepada kita dan kita sedang perhalusi serta perbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 Peringkat Pulau Pinang bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sing Kang di sini hari ini.

Wan Saiful berkata, pihaknya berharap Kementerian Pendidikan dan Kabinet dapat membuat keputusan berhubung Konsultasi Rakyat itu dengan segera.

“Kita berharap agar keputusan dapat dibuat segera namun, ini di luar bidang kuasa kita.

“Pada waktu ini, keputusan untuk Konsultasi Rakyat perlu dibuat oleh pihak atasan, bukan lagi di peringkat PTPTN. Tugas kita sudah selesai selepas kita menyerahkan keputusan analisa yang telah dijalankan,” katanya.

Wan Saiful (dua dari kanan) dan Kon Yeow (empat dari kiri) merasmikan Program Jelajah SSPN 2019 Peringkat Pulau Pinang di SJKC Sing Kang hari ini.
Sebelum ini, PTPTN menerima 34,469 maklum balas sepanjang tempoh empat minggu Konsultasi Rakyat yang berakhir 13 Jun lalu.

Konsultasi Rakyat memberi peluang kepada rakyat mempertimbangkan dan memberi pendapat mengenai mekanisme baharu bayaran balik serta langkah bagi menjamin kelangsungan PTPTN agar dapat meneruskan pembiayaan kepada pelajar pada masa hadapan.

Pada Mei lalu, PTPTN menjalankan Konsultasi Rakyat bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan perbadanan berusia 22 tahun itu.

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful berkata, sehingga akhir Julai lalu, pihaknya mencatat 256,000 akaun baharu untuk SSPN dengan jumlah simpanan RM477 juta.

Menurutnya, dengan jumlah itu pihaknya percaya sasaran jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu akan dicapai.

“Dengan jumlah akaun dan simpanan yang kita ada, saya percaya kita ‘on track’. Saya percaya, kita akan capai sasaran kita pada akhir tahun ini iaitu RM1 bilion untuk jumlah simpanan dengan 500,000 akaun baharu.

“Ini merupakan cabaran PTPTN untuk memastikan sasaran ini dicapai dengan melakukan pelbagai strategi dan langkah termasuk memperkukuhkan lagi kerjasama di peringkat negeri termasuk Pulau Pinang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");