Sukan Hari Ini

Qatar Lancar Logo Rasmi Piala Dunia 2022

DOHA: Qatar melancarkan logo rasmi Piala Dunia 2022 di Doha dan di kotaraya utama seluruh dunia pagi tadi.

Memetik laporan BH Online, logo dengan rekaan selendang Arab berwarna merah hati dibentuk seperti nombor lapan yang membawa simbol infiniti dan dicetak perkataan ‘FIFA WORLD CUP Qatar 2022’.

Ia dilancarkan di perkarangan Bangunan Arkib Kebangsaan dekat Bandar Msheireb, di bahagian selatan lengkap dengan kawalan tentera berkuda sambil disaksikan ratusan hadirin.

Ia dipancarkan ke arah bangunan itu tepat pada jam 20:22 waktu tempatan (1722 GMT) – sebagai simbolik tahun penganjuranya pada 2022.

“Logo itu sangat elegan dengan menampilkan budaya tempatan dihiasi warna yang terdapat pada bendera Qatar,” kata pekerja Algeria, Mourad Bencheikh, 36, yang kagum menyaksikan pelancaran itu.

“Orang ramai akan menyukainya.”

Logo berkenaan turut dilancarkan di Kota Madrid, Buenos Aires dan Beirut serta beberapa kota raya utama dunia lain.

“Logo yang ini sangat unik buat Qatar,” kata jurunilai dari Sri Lanka, Mohammed Fairoos, 30, yang hadir bersama sekumpulan rakan sambil berswafoto di hadapan bangunan Arkib Kebangsaan itu.

“Ia menakjubkan.”

Pegawai rasmi Qatar berkata, rekaan logo itu diilhamkan daripada selendang tradisional warga tempatan yang lazim dipakai sepanjang musim sejuk.

Piala Dunia 2022 akan berlangsung pada November hingga Disember 2022 bagi mengelak suhu panas di negara teluk itu.

“Seperti juga bola sepak, selendang itu sangat popular untuk penyatuan, fabrik yang ditenun untuk kegunaan pakaian harian orang ramai,” kata Jawatakuasa Induk menerusi kenyataan.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Qatar sudah meningkatkan persiapan promosi ke peringkat global.

Mei lalu, Qatar merasmikan Stadium al-Janoub dengan kapasiti 40,000 penonton dengan satu pertandingan Piala Emas dilangsungkan di situ.

Arena stadium itu hasil rekaan arkitek kelahiran Britain-Iraq, Zaha Hadid dibina di pesisir pantai selatan Doha, dibina dengan harga AS$575 juta (RM2.4 bilion).

Daripada lapan stadium baharu yang dibina untuk Piala Dunia, Stadium Antarabangsa Khalifa paling awal disiapkan dan bakal digunakan pada Kejohanan Olahraga Dunia, hujung bulan ini.

Pihak berkuasa juga membina rangkaian jalan raya baharu bagi melancarkan aliran trafik yang menghubungkannya dengan semua stadium, hub pengangkutan utama dan lokasi tumpuan pelancongan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");