Panasnya Hari Ini

Saya Akan Tepati Janji Saya – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: “Saya akan umum kemudian. Tapi saya akan tepati janji saya,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung penyerahan jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat perbincangan termasuk mengenai tarikh penyerahan jawatan perdana menteri kepada Anwar pada sidang media selepas melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di sini, sebagaimana dilaporkan Harian Metro hari ini.

Presiden PKR itu dalam temubual bersama Bloomberg yang disiarkan, kelmarin, dilaporkan berkata, beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau tidak pasti mengenai tempoh tepat proses peralihan kuasa itu kerana ia adalah janji dipersetujui Dr Mahathir.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedia menggantung sementara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika China berbuat demikian berikutan dakwaan projek terbabit dikatakan ada kaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini Malaysia belum menerima sebarang pengesahan daripada China mengenai cadangan dikemukakan bekas Ahli Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram, baru-baru ini.

“Dia (Jomo) perlu berunding dengan kerajaan China sendiri dan beritahu saya jika mereka (kerajaan China) boleh menggantung sementara Projek ECRL, maka saya sedia mengikut jejak langkah mereka.

“Itu adalah dakwaan dia sendiri tetapi setakat ini kerajaan China belum mengesahkannya.

“Setakat ini Malaysia dan China sedia meneruskan semula projek ECRL selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk mengurangkan skop kerja dan kosnya. Jadi projek berkenaan akan diteruskan,” katanya.

Jomo sebelum ini menggesa kerajaan menggantung projek ECRL berikutan keterangan saksi kes 1MDB, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin bahawa projek itu untuk menyelamatkan ‘bail out’ 1MDB.

Dalam pada itu, Dr Mahathir meminta penjelasan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengenai cadangan menjual pegangannya Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB) kepada syarikat pengurusan lapangan terbang asing.

Sebelum ini media melaporkan Khazanah kini dilaporkan berada dalam proses akhir penjualan pegangannya dalam MAHB kepada sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang di London iaitu Vinci & Gatwick Airports.

“Khazanah kini sedang meneliti untuk menjual beberapa kepentingannya dalam beberapa syarikat berikutan kerajaan terdahulu berhutang sehingga mencecah RM1 trilion, namun wang berkenaan tidak dilaburkan dengan betul sekali gus menyebabkan kerajaan sekarang terpaksa menggunakan wang pembayar cukai untuk membayar hutang berkenaan.

“Sebenarnya tujuan asal kita tubuhkan Khazanah adalah untuk membeli saham dan syer yang diperuntukkan khusus kepada Bumiputera, namun ia sudah melampau peranan asalnya termasuk menubuhkan syarikat dan membeli saham dalam syarikat tertentu yang bukan bertepatan dengan tujuan asal penubuhannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");