Perak Hari Ini

“Saya Ketua Polis Untuk Negara, Bukan Ketua Polis Pakatan Harapan”

TAPAH – Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyelar tindakan pihak-pihak tertentu yang menuduh beliau mengeluarkan kenyataan seolah-olah berat sebelah dan menyokong parti politik tertentu.

Beliau juga menafikan tuduhan yang menyebut beliau telah mengaitkan pihak pembangkang dengan peningkatan isu ketengan kaum dan agama di negara ini.

Katanya sebagai seorang Ketua Polis Negara, beliau mempunyai tanggungjawab dalam menegur mana-mana pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang sekiranya ada antara mereka yang melakukan sebarang kesalahan.

“Saya sebutkan memang satu kebiasaan apabila berlaku perubahan secara mendadak seperti yang berlaku kini. Dalam parti kerajaan pasti akan ada sedikit pergeseran untuk menegakkan agenda politik masing-masing.

“Pembangkang pula akan berusaha melemahkan kerajaan. Itu peranan mereka. Bila pula saya sebutkan saya menyerang pembangkang. Saya minta supaya yang beri komen itu fikirkan balik tuduhan itu.

“Dia pula menyebut seolah-olah saya ini Ketua Polis Negara ‘Pakatan Harapan’. Tidak. Saya ini Ketua Polis Negara untuk negara, bukan untuk parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran Operasi Bersepadu Khazanah di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Presiden Sukarelawan Malaysia, Isham Jalil telah menyarankan Abdul Hamid supaya meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara jika mahu membuat kenyataan politik.

Dalam masa sama, Abdul Hamid turut kesal dengan sikap segelintir pihak yang mempersoalkan kredibiliti anggota polis dalam mengurus semua kes di negara ini dengan memberikan komen yang tidak bertanggung jawab di media sosial.

“Saya beri jaminan bahawa Pasukan Siasatan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan kepada semua. Tidak ada yang akan terlepas.

“Orang ramai kena faham PDRM bukan berkuasa dalam hendak mendakwa mana-mana pihak. Kita hanya ditugaskan untuk menyiapkan laporan siasatan serta mengumpul bukti, dan ia akan diserahkan kepada peguam negara.

“Kemudian, peguam negara yang akan menentukan seterusnya. Dan tidak semestinya semua itu dijamin akan didakwa.

“Kadang-kadang di media sosial ada yang melebih-lebih tetapi hakikatnya tidak cukup bukti pun untuk mendakwa seseorang itu. Ramai ‘pakar undang-undang’ dalam sosial media kini yang mengeluarkan hujah masing-masing,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");