Berita Hari Ini

Serangan Loji Aramco Dijangka Beri Kesan Harga Minyak Dunia

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat serangan terhadap loji minyak Aramco di Arab Saudi semalam dijangka akan memberi kesan kepada harga minyak dunia, termasuk Malaysia.

Bagaimanapun di Malaysia, Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan memberi subsidi untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api berbanding negara lain yang menaikkan cukainya.

“Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis atas sejuta tong minyak, sudah tentu akan memberi kesan kepada harga minyak seluruh dunia.

“Di Malaysia, apabila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom (UK) kalau minyak naik, mereka naik cukai. Bagi dia (UK), orang dia tidak mengadu. Di Malaysia, harga minyak adalah paling rendah di dunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang ditetapkan pada paras RM2.08 pada masa ini susulan serangan berkenaan, beliau secara berseloroh berkata: ‘Saya akan kaji jika anda mahu ia dikaji.”

Arab Saudi dilaporkan menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman yang menjejaskan kira-kira separuh pengeluaran keseluruhan syarikat berkenaan.

Serangan itu menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais, kata Menteri Tenaganya, Putera Abdulaziz Salman.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menyaksikan perlumbaan akhir bagi kategori universiti (lelaki) antara Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Kejohanan The Putrajaya Boat Race (TPBR) 2019.

Bagi kategori universiti itu UPM dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500 berserta pingat dan piala pusingan.

TPBR 2019 adalah acara julung kali diadakan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan ini hasil cetusan idea Dr Mahathir sendiri bagi mewujudkan tradisi ‘boat race’ antara universiti tertua seperti diadakan di UK, Amerika Syarikat dan Jepun.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");