Panasnya Hari Ini

Syor Lantik Orang Tengah Selesai Perbalahan Pemimpin PKR

KUALA LUMPUR: Pertelagahan membabitkan kepemimpinan tertinggi PKR yang dilihat tiada penghujungnya, memerlukan campur tangan orang tengah dalam usaha mencari penyelesaian menerusi meja rundingan.

Individu yang berkecuali dengan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan, bukan orang politik, berada di luar parti dan dihormati kedua-dua pihak antara kriteria perlu diambil kira dalam pelantikan itu.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, berkata sudah tiba masanya kepemimpinan PKR melihat keperluan melantik orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian, sekali gus menghentikan perpecahan dalaman parti itu.

Beliau berkata, individu atau kelompok yang bakal berperanan sebagai orang tengah perlu dilantik dalam kalangan mereka yang tiada kepentingan dengan mana-mana kumpulan.

“Orang tengah seelok-eloknya individu yang dihormati dan berada di luar parti komponen Pakatan Harapan (PH),” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Pertelagahan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kumpulan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut disertai Zuraida Kamaruddin dilihat semakin memuncak ketika Presiden PKR itu memberi bayangan bakal mengambil alih tampuk pentadbiran negara tahun depan.

Nik Ahmad Kamal yang juga Ahli Majlis Profesor Negara berkata, beliau yakin percakaran itu boleh diselesaikan jika pihak berkaitan menyedari tuntutan yang dibuat sama ada boleh diterima atau sebaliknya.

Beliau berkata, pihak yang enggan hadir ke mesyuarat parti seharusnya berkompromi demi memastikan isu itu tidak mengheret dan menjejaskan parti komponen PH.

“Selagi mereka tidak hadir mesyuarat, selagi itu tidak selesai, selagi tiada kompromi, selagi itu tiada penyelesaian. Kita di luar tidak tahu isi sebenar pertelingkahan dua kumpulan ini dan kita hanya boleh membuat spekulasi.

“Namun saya berpandangan sebagai bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar perlu mencari jalan supaya krisis ini tidak menjadi sebab perpecahan lebih besar dalam PH,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan turut berpendapat wujud keperluan untuk melantik orang tengah yang dihormati kedua-dua pihak untuk membawa pihak bertelagah ke meja rundingan, sekali gus mengakhiri kemelut itu.

Beliau berkata, sewajarnya individu yang diharap mampu menjadi ‘gam’ bagi mencantumkan semula mereka yang bertelagah adalah dalam kalangan bukan orang politik tetapi berpengaruh dan dihormati.

Katanya, sebagai parti yang paling dominan dalam PH dengan 50 kerusi Parlimen, pastinya pertelingkahan di peringkat kepemimpinan tertinggi menjadi perhatian orang ramai khususnya ahli dan penyokong di peringkat akar umbi.

“Sudah tiba masanya semua pihak mengetepikan ego dengan memperkasakan kekuatan parti dan membelakangkan kepentingan lain.

“Jika pertelagahan ini berterusan tanpa ada penghujung, ia bukan sahaja memberi impak kepada PKR, bahkan PH di peringkat akar umbi, negeri dan pusat,” katanya yang turut berpendapat tindakan tatatertib antara penyelesaian akhir bagi menamatkan isu berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");