Perak Hari Ini

Teras Mahu Pemimpin, Orang Melayu Pandang Serius Isu Tanah Rizab Melayu

IPOH: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyeru semua pihak sama ada dalam kalangan pemimpin atau masyarakat Melayu untuk memandang serius terhadap isu pengurangan bilangan peratusan Tanah Rizab Melayu (TRM) yang berlaku di negara ini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata sekiranya ia tidak bertindak demikian besar kemungkinan ia akan meletakkan generasi Melayu dalam keadaan masa depan yang gelap.

Beliau merujuk kepada kenyataan Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Haniff Omar pada tahun lalu yang ada menyebut bahawa TRM kini hanya tinggal 12 peratus sahaja berbanding 50 peratus sebelum ini.

Kata Mohd Azmi, tanah merupakan aset terpenting tatkala pada masa kini generasi muda khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu, kian bergelut dengan masalah seperti memiliki kediaman sendiri.

Jelasnya, oleh hal demikian, Teras akan menyeru organisasi bukan kerajaan (NGO) Melayu yang lain untuk mendesak pihak kerajaan dalam isu tersebut.

“Pengambilalihan TRM dan tanah milik Orang Melayu mesti dilakukan dengan segera kerana kita lihat banyak tanah milik Orang Melayu telah tergadai akibat hutang dan sebagainya.

“Ataupun terdapat satu keadaan di mana TRM ini jumlah peratusannya semakin menguncup kerana ia tidak diganti dengan tanah yang lain oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu ujar Mohd Azmi, Teras juga akan melancarkan kempen dan siri penerangan kepada masyarakat Melayu supaya mereka tidak sewenang-wenangnya menjual tanah yang dimiliki mereka kepada pihak lain.

Selain tabung ‘land bank’ kepada masyarakat Melayu, NGO tersebut juga mencadangkan agar dapat diwujudkan satu badan pemantau kepada semua tanah sama ada ia dimiliki Orang Melayu, mahupun TRM.

“Kita usulkan supaya diwujudkan satu badan yang dapat memantau semua tanah yang dimiliki Orang Melayu, yang dilihat bermasalah atau berhadapan risiko untuk dijual oleh waris,” katanya.

Tambah beliau, cadangannya itu turut termasuk kepada tanah-tanah wakaf walaupun ianya diuruskan oleh Jabatan Agama Islam masing-masing.

Beliau bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Kali ke-20 di Masjid Muhammad Al-Fateh, Meru di sini, hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");