Berita Hari Ini

Terpaksa Tumpang Mandi Di Masjid

BACHOK: Terpaksa menumpang mandi di masjid dan mencatu bekalan air.

Itu usaha yang terpaksa dilakukan penduduk sekitar Jelawat apabila mengalami gangguan bekalan air sejak Jun lalu.

Masalah gangguan bekalan air di kawasan ini berlaku antara dua hari hingga hampir dua minggu di Kampung Rusa, Kampung Mujur dan sekitar perumahan di Jelawat.

Lebih terkesan, masalah itu turut dihadapi 1,600 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terutamanya yang baru mendaftar pada awal bulan ini.

Penduduk kampung, Rohanah Omar, 65, berkata, gangguan bekalan air bermula sejak Jun lalu dan paling teruk pada bulan ini apabila tiada air langsung selama 12 hari.

Katanya, selain gangguan bekalan air, penduduk juga dibelenggu masalah air keruh.

“Saya terpaksa mengangkut air dari masjid berdekatan iaitu Masjid Luqman Alhakim kira-kira 50 meter dari rumah atau menumpang basuh pakaian di rumah kakak di Kampung Kemudi, kira-kira sembilan kilometer.

“Segan juga basuh baju di rumah orang, tapi terpaksa sebab air keruh sangat,” katanya ketika ditemui di Kampung Rusa, di sini, lapor BH Online.

Sementara itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK, Mohd Zulhilmi Yaacob, 22, berkata, penuntut terpaksa mengangkut air dari masjid untuk mandi, membuang air dan membasuh pakaian.

Katanya, ada juga pelajar mengadu mengalami masalah kesihatan seperti kegatalan dan masalah kulit muka akibat kualiti air yang rendah.

“Sejak pengambilan 700 lebih penuntut baru bulan ini, rata-rata mereka turut membuat aduan masalah air, malah ada yang mengadu tidak mandi ke kelas kerana terpaksa beratur panjang untuk mengambil giliran menadah air,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, pihaknya akan mengambil langkah serta-merta bagi mengatasi masalah itu.

“Antaranya kita mohon syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk hantar bekalan air ke UMK Bachok setiap hari.

“Kita juga akan menaik taraf telaga tiub sedia ada dan menambah satu lagi sistem telaga tiub untuk membekalkan air ke tangki utama.

“Kita akan adakan perbincangan AKSB akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi mengatasi masalah ini agar tidak berulang,” katanya.

Ketua Jabatan Pengurusan Operasi AKSB, Mohd Safrurazi Salleh ketika dihubungi berkata, gangguan air di Jelawat termasuk UMK berpunca daripada kerosakan di tangki Pasir Tumboh, Kota Bharu yang menyebabkan air mentah berkurang hampir 20 juta liter sehari.

“Justeru, pengurangan air terawat dari loji rawatan air di Chica ke Bukit Marak yang menjadi tangki bekalan air ke Jelawat dan UMK turut terjejas.

“Kerja pemulihan sedang dijalankan dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat dan untuk masalah air keruh penduduk diminta buat aduan untuk siasatan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");